MH Online

Laman Suara Rakyat

New Zealand Cari Jalan Kekang Varian Delta

New Zealand Cari Jalan Kekang Varian Delta

Kerajaan New Zealand terpaksa memikirkan strategi lain bagi menangani pandemik COVID-19 varian Delta berikutan pendekatan yang dilaksanakan sebelum ini, gagal mengawal penularan varian terbabit.

Menteri Tindak Balas COVID-19 New Zealand, Chris Hipkins, melaporkan 21 lagi kes dalam kluster virus yang muncul di Auckland minggu lalu, mengakhiri enam bulan tanpa penularan kes jangkitan tempatan sekali gus menyebabkan pelaksanaan kawalan pergerakan nasional.

Katanya, sifat virus COVID-19 varian Delta menjadikan wabak sangat mudah disebarkan menjadikan wabak sukar dibendung, hingga menimbulkan ‘persoalan besar’ mengenai strategi penghapusannya.

“Skala jangkitan dan kepantasan penyebaran virus walaupun banyak persiapan baik di dunia dilakukan, mengakibatkan sistem kesihatan negara dalam keadaan tertekan,” katanya kepada TVNZ.

Kejayaan New Zealand menangani COVID-19 sebelum ini mendapat pujian meluas berikutan hanya merekodkan 26 kematian menjadi rujukan.

Hipkins berkata, penularan virus COVID-19 varian Delta membuatkan kerajaan perlu memikirkan semula strategi lain disamping menutup kawalan sempadan dan sekatan pergerakan ketat.

“Varian (Delta) tidak seperti apa yang pernah ditangani sebelum pandemik ini.

“Ia mengubah segala-galanya dan membawa makna sebagai persiapan sebelum ini sudah mula kurang mencukupi serta menimbulkan banyak persoalan besar mengenai masa depan serta rancangan jangka panjang,” katanya.

Negara jiran Australia yang berusaha mencapai strategi ‘sifar COVID-19’ dan nampaknya kecewa berikutan kes berkaitan Delta terus melonjak.

Program vaksinasi New Zealand yang perlahan dibimbangi meningkatkan penularan COVID-19, mendorong kerajaan dituduh lemah meskpun pada awalnya berjaya menangani pandemik itu.

Hanya kira-kira 20 peratus populasi lengkap divaksinasi, antara kadar pencapaian terendah bagi negara maju.

Jurucakap Parti Nasional (parti pembangkang di New Zealand), Chris Bishop, berkata penularan itu memperlihatkan kelemahan program vaksinasi Wellington.

“Ketidakmampuan kerajaan memastikan bekalan dan penghantaran bekalan benar-benar tidak memuaskan, apatah lagi benar-benar perlu terhadap varian Delta yang sudah menular dalam kalangan masyarakat,” katanya.

Hipkins berkata, usaha memutuskan rantaian COVID-19 tetap menjadi keutamaan bagi penularan akibat varian Delta yang kini berjumlah 71 kes aktif dengan 65 daripadanya di Auckland dan enam di Wellington.

Kawalan pergerakan nasional akan berakhir Selasa ini, walaupun Hipkins mengatakan Auckland terpaksa melanjutkan tempohnya.

“Sekiranya saya tinggal di Auckland, saya pasti akan bersiap sedia untuk berada di rumah lebih lama sedikit,” katanya. – AFP