MH Online

Laman Suara Rakyat

KEMAMAN 14 OKTOBER 2017. Timbalan Perdana Menteri, Datuk Seri Dr. Ahmad Zahid Hamidi (dua kiri) bersama Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman (kiri) bergambar bersama sambil menyaksikan pertunjukkan udara semasa hadir merasmikan program Gelombang Nelayan Nasional di Jeti Kuala Kerteh. NSTP/GHAZALI KORI

Negara Rugi RM6 Billion Setahun Akibat Pencerobohan Laut

Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi mengarahkan agensi penguatkuasaan memperkasa dan bertindak tegas mengekang pencerobohan dan rompakan hasil laut yang mengakibatkan negara rugi sehingga RM6 bilion setahun.

Timbalan Perdana Menteri berkata, arahan itu membabitkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, Lembaga Kemajuan Ikan Malaysia (LKIM), Pasukan Polis Marin (PPM), Tentera Laut Diraja Malaysia (TLDM) dan Agensi Penguatkuasaan Maritim Malaysia (APMM).

“Kita rugi antara RM3 bilion hingga RM6 bilion setahun akibat pencerobohan nelayan asing yang merompak hasil laut negara. Jadi, penguatkuasaan lebih tegas penting bagi memelihara kepentingan nelayan yang memberi sumbangan besar kepada negara dan rakyat dalam membekalkan makanan laut.

“Saya ingin mengingatkan Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani, LKIM, PPM, TLDM dan APMM supaya tangkap nelayan asing yang menceroboh dan merompak hasil laut negara.

“Pencerobohan dan tindakan mencuri hasil laut negara yang dilakukan nelayan asing adalah satu tindakan tidak menghormati undang-undang laut yang ditetapkan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB).

“Jarak 200 batu nautika dari pesisir pantai adalah hak negara, untuk nelayan tempatan meraih hasil. Pihak terbabit (agensi penguatkuasaan) perlu ambil peduli mereka (nelayan) yang juga ‘wira tidak didendang’,” katanya.

Timbalan Perdana Menteri berkata demikian ketika berucap pada Majlis Perasmian Gelombang Nelayan Nasional 2017 (GNN) dihadiri lebih 12,000 nelayan dari seluruh negara di Pantai Kuala Kerteh, di sini hari ini.

Turut hadir dalam majlis tersebut, Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman; Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani, Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek; Menteri Di Jabatan Perdana Menteri, Datuk Seri Shahidan Kassim dan Timbalan Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Jailani Johari.

Pada sidang media kemudian, beliau berkata, beberapa langkah pencegahan sudah diambil TLDM, APMM dan Jabatan Perikanan dengan meletakkan sistem pemantaun ‘eyes in the sky’ di Selat Melaka, Laut Sulu dan Laut China Selatan.

Katanya, hasil laut negara adalah sumber protein utama Malaysia dan kerajaan mahu mengelak mengimport bahan berkenaan dari luar kerana ia tidak adil, terutama kepada nelayan tempatan.

Ahmad Zahid juga meminta nelayan laut dalam membawa pulang hasil tangkapan bagi mengelakkan negara kerugian sekiranya mereka menjual kepada peraih asing di tengah perairan.

Beliau turut mengumumkan peruntukan tambahan sebanyak RM2 juta kepada Kementerian Pertanian dan Industri Asas Tani bagi meneruskan program GNN di seluruh negara.

“Kerajaan memang sediakan peruntukan untuk program ini khas buat nelayan. Namun dengan peruntukan tambahan, ia dapat diperbesar dan diteruskan sebagai program tahunan,” katanya.