KUALA LUMPUR,Pengerusi Eksekutif Kumpulan Securiforce Sdn Bhd, Datuk Maznah Hamid meninggal dunia jam 6 petang tadi.

Maznah, 62, menghembuskan nafas terakhirnya di Institut Jantung Negara (IJN) di sini, selepas dimasukkan ke wad berkenaan bagi merawat komplikasi jantung yang dihidapinya.

Maznah, yang terkenal dengan gelaran Iron Lady sebelum ini dilaporkan stabil selepas selesai menjalani pembedahan pada Jumaat lalu.

Beliau merupakan Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang juga Ketua Wanita UMNO Jerlun, Kedah.

Tan Sri Shahrizat Abdul Jalil dalam kenyataan medianya sebentar tadi, turut merakamkan ucapan takziah bagi pihak Pergerakan Wanita UMNO Malaysia.

“Saya mewakili semua ahli Pergerakan Wanita UMNO merakamkan ucapan takziah kepada ahli keluarga di atas pemergian Allahyarhamah Datuk Wira Maznah Hamid, Exco Pergerakan Wanita UMNO Malaysia yang juga Ketua Wanita UMNO Bahagian Jerlun, Kedah”.

“Kehilangan Allahyarhamah amat dirasai oleh setiap insan yang mengenali beliau terutama kami Wanita UMNO kerana keberanian, semangat setiakawan dan aura positif yang sentiasa dibawa dalam dirinya. Beliau bukan sahaja seorang srikandi tetapi juga seorang pemimpin yang amat dihormati dan disayangi. Negara kehilangan seorang srikandi yang cekal dan gigih dalam membuktikan bahawa wanita mampu berjaya dalam pelbagai bidang di pentas dunia. Pemergian Allahyarhamah Datuk Maznah meninggalkan kekosongan yang cukup mendalam di jiwa seluruh ahli Wanita UMNO”.

“Insyaallah, Pergerakan Wanita UMNO Malaysia melalui Skuad An-Nur akan mengadakan Majlis Tahlil dan bacaan Yasin di semua 191 Parlimen untuk Allahyarhamah Datuk Wira Maznah Hamid. Doa kami mengiringi Allahyarhamah semoga rohnya ditempatkan di jannah bersama orang-orang yang beriman”.

 

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *