Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Nasihat PAS Kepada UMNO

Nasihat PAS Kepada UMNO

KUALA TERENGGANU, Pemimpin dan ahli UMNO dinasihatkan untuk menilai senario politik terkini yang menyaksikan situasi lompat parti sebagai satu hikmah untuk lebih dekat dengan PAS.

Ketua Penerangan PAS Terengganu, Mohd Nor Hamzah, berkata perjuangan UMNO dalam mendaulatkan agama dan bangsa adalah satu pegangan yang hampir sama dengan pendekatan PAS.

Justeru beliau berkata, senario itu menunjukkan bahawa pemimpin dan ahli UMNO perlu melihatnya sebagai satu hikmah untuk mereka mendekatkan diri dengan PAS.

“Maka tidak ada jalan melainkan untuk menghampiri PAS, di waktu kita sedang mengambil satu kaedah untuk bekerjasama dalam kebajikan, kebaikan, bangsa, bahasa dan agama,” katanya.

Beliau berkata demikian selepas Kempen Pencegahan Kesalahan Jenayah Syariah di bawah Enakmen Kesalahan Jenayah Syariah (Takzir) (Terengganu) 2001 anjuran Jabatan Hal Ehwal Agama Terengganu (JHEAT) di Paya Bunga (PB) Sentral di sini, petang semalam.

Mohd Nor turut menyifatkan tindakan beberapa Ahli Parlimen dan pemimpin UMNO yang keluar daripada parti itu sejak kelmarin sebagai ‘semut yang mencari gula’.

“Senario itu berkemungkinan disebabkan sikap segelintir pemimpin yang tidak biasa dihimpit kesusahan seperti yang dihadapi pada masa ini.

“Mereka tidak biasa berada dalam keadaan susah kerana sudah tidak ada kuasa. Jadi mereka mencari di mana ada gula di situ akan ada ruang,” katanya.

Leave a Reply

Top