Nasihat perjalanan ke Malaysia yang dikeluarkan Australia dan United Kingdom kepada rakyatnya wajar ditarik balik, kata Timbalan Menteri Dalam Negeri Datuk Nur Jazlan Mohamed.

Beliau berkata nasihat perjalanan dikeluarkan kedua-dua negara itu kurang berasas memandangkan kerajaan telah mengambil langkah-langkah keselamatan dalam mengekang kegiatan keganasan di negara ini.

“Dari segi ancaman pengganas, setakat ini kerajaan telah menahan 117 individu yang terlibat dari segi memberi sokongan kepada kumpulan militan dan menyebar dakyah keganasan,” katanya kepada pemberita selepas taklimat khas tahap keselamatan dalam negara kepada wakil kedutaan asing di Malaysia, di sini, Selasa.

Nur Jazlan berkata polis dan tentera juga telah ditugaskan untuk mengiring para pelancong yang mahu melawat pulau-pulau terpencil di Sabah.

“Malah, sekarang ini secara purata seramai 1,000 pelancong melawat pulau-pulau di Sabah setiap hari dan ini menunjukkan kawasan tersebut adalah selamat,’ katanya.

Pada Februari lalu, kerajaan Australia dan United Kingdom telah mengeluarkan nasihat perjalanan ke Sabah kepada rakyatnya.

Menyentuh mengenai perjumpaan dengan 221 wakil daripada 90 kedutaan itu, Nur Jazlan berkata beliau turut terkejut apabila tiada soalan daripada wakil kedutaan Australia dan United Kingdom berkenaan ancaman keselamatan dalam negara.

“Australia diwakili oleh dutanya manakala United Kingdom telah menghantar wakil … saya ada minta tarik balik (nasihat perjalanan), tetapi mereka tidak bersuara. Saya ingatkan mereka akan menyatakan senarai kenapa Malaysia tidak selamat, tetapi tiada…”, katanya.

Mengenai maklum balas wakil kedutaan pada taklimat itu, Nur Jazlan berkata mereka berharap kerajaan dapat meningkatkan kawalan keselamatan di kawasan yang “mungkin menjadi sasaran”.

“Mereka bimbang mengenai keselamatan di kawasan seperti sekolah-sekolah antarabangsa di sekitar ibu negara, di mana anak-anak mereka pergi bersekolah dan kehadiran polis tidak jelas di kawasan itu dan ini memberi ruang kepada pengganas dan penculik untuk mengambil kesempatan,” katanya.

Justeru beliau memberi jaminan pihak polis akan meningkatkan kehadiran di kawasan berkenaan di sekitar ibu negara.

Nur Jazlan dalam pada itu berkata KDN akan berbincang dengan Kementerian Luar untuk mewujudkan satu saluran komunikasi rasmi secara terus dengan kedutaan asing bagi menyampaikan maklumat berkenaan isu keselamatan.

“Ini adalah kali pertama kementerian berhubung secara terus dengan perwakilan asing kerana sebelum ini mengikut protokal rasminya mereka akan berhubung melalui Kementerian Luar,”katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *