KUALA TERENGGANU, Jabatan, agensi kerajaan negeri dan badan berkanun diminta menyediakan nasi bungkus ketika jamuan mesyuarat, berbanding pemesanan makanan secara bufet daripada katering yang boleh menyebabkan pembaziran.

Menteri Besar, Datuk Seri Ahmad Razif Abd Rahman, berkata selain mengelak pembaziran, langkah itu dapat menjimatkan perbelanjaan kerajaan negeri yang dikuatkuasakan sejak bulan lalu.

“Semua ketua jabatan kerajaan, agensi kerajaan dan badan berkanun diminta mencontohi langkah dilakukan Pejabat Menteri Besar apabila hanya menyediakan jamuan nasi bungkus ketika mesyuarat.

“Pejabat Menteri Besar juga hanya menyediakan satu kali jamuan makan berbanding dua kali iaitu ketika sebelum dan selepas mesyuarat,” katanya ketika merasmikan Majlis Anugerah Pingat Emas Yayasan Terengganu (YT) dan Apresiasi Kecemerlangan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM), Sijil Tinggi Pelajaran Malaysia (STPM), Sijil Tinggi Agama Malaysia (STAM) di Pusat Konvensyen, Taman Tamadun Islam (TTI), di sini, pagi ini.

Awal bulan lalu, Ketua Setiausaha Negara, Tan Sri Dr Ali Hamsa berkata, semua jamuan dianjurkan di peringkat kementerian dan jabatan kerajaan diminta tidak menyediakan makanan secara berlebihan bagi mengelak pembaziran.

Katanya, langkah itu berupaya mendidik penjawat awam menghargai makanan dengan tidak membuang hidangan yang masih boleh dimakan.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *