MH Online

Laman Suara Rakyat

Najib & UMNO Akhirnya Peroleh Kembali Aset RM114 Juta

Najib & UMNO Akhirnya Peroleh Kembali Aset RM114 Juta

KUALA LUMPUR, Sejumlah aset bernilai RM114 juta, yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences pada 17 Mei 2018, telah dipulangkan kepada bekas Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak dan UMNO.

Timbalan Pendakwaraya Faten Hadni Khairuddin memberitahu Astro AWANI, berdasarkan semakan dengan pegawai penyiasat, aset terbabit telah diserahkan pada 17 Jun lepas.

Tambahnya lagi, pemulangan itu dilakukan kerana pihak pendakwaan tidak memohon untuk memfailkan rayuan, selepas Hakim Mahkamah Tinggi Datuk Muhammad Jamil Hussin dalam penghakiman pada 20 Mei lepas, menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak aset terbabit.

“(Aset) telah diserahkan kepada DSN melalui wakil kerana pihak pemohon (pendakwaan) tidak memfailkan rayuan,” katanya lagi.

Pada Mei, Muhammad Jamil menolak permohonan pendakwaan untuk melucut hak wang yang disita oleh polis di kondominium mewah Pavilion Residences yang terletak di ibu negara pada 17 Mei 2018.

Ketika menyampaikan keputusannya, Muhammad Jamil berkata, pendakwa raya gagal membuktikan wang RM114,164,393.44 yang disita itu terbabit dengan skandal dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).
Selain itu, hakim juga memutuskan pendakwa raya gagal membuktikan wang berkenaan wujud hasil aktiviti pengubahan wang haram.

Untuk rekod, pendakwaan pada 2019 telah memfailkan permohonan pelucuthakan terhadap OBYU Holdings untuk melucut hak barangan.

Ia merangkumi 11,991 unit barang kemas, 401 utas jam tangan dan 16 aksesori jam tangan, 234 pasang cermin mata serta 306 beg tangan dan wang tunai dalam pelbagai denominasi berjumlah RM114,164,393.44.