Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Najib Perlu Berundur

Najib Perlu Berundur

Oleh : Zabidi Saidi

Pakatan Harapan (PH), gabungan empat parti politik pembangkang yang baru dibentuk, menang besar pada pilihan raya umum Malaysia yang baru berakhir, menamatkan pemerintahan Barisan Nasional (BN) selama lebih 60 tahun.

Bekas Perdana Menteri Tun Dr Mahathir Mohamad yang berusia hampir 93 tahun, berjaya dalam apa yang dilihat sebagai tugas mustahil untuk meraih sokongan besar rakyat bagi memecahkan genggaman kuasa BN yang sebelum peristiwa bersejarah hari ini, merupakan parti politik paling lama memerintah.

Dr Mahahir dijangka mengangkat sumpah jawatan sebagai Perdana Menteri Malaysia ketujuh hari ini. Dr Mahathir ialah Perdana Menteri keempat dan merupakan orang yang sama mengetuai kejayaan BN dalam pilihan raya umum lima tahun berturut-turut dari 1982 hingga 1999.

Ketika keputusan muktamad diumumkan oleh Pengerusi Suruhanjaya Pilihan Raya Tan Sri Hashim Abdullah pada kira-kira pukul 4.45 pagi, PH yang berusaha dalam apa yang dianggap sebagai ibu segala pilihan raya menggunakan simbol mata biru sekutunya Parti Keadilan Rakyat (PKR), memenangi 113 daripada 222 kerusi Parlimen dengan majoriti mudah.

Ia dijangka mengukuhkan kedudukannya di Parlimen menerusi lapan lagi kerusi yang dimenangi Parti Warisan Sabah yang mengumumkan sebelum ini untuk menyertai PH di peringkat persekutuan.

BN yang diketuai Datuk Seri Najib Razak memenangi 79 kerusi, jauh berbanding 132 yang dikuasainya sebelum ini.

Sebanyak enam menteri Kabinet BN dan dua menteri besar dikalahkan dalam pilihan raya ini dan, suatu perkara yang tidak pernah berlaku sebelum ini.

Mereka yang kecundang ialah Menteri Pengangkutan dan Presiden MCA Datuk Seri Liow Tiong Lai, Menteri Kesihatan dan Presiden MIC Datuk Seri Dr S. Subramaniam, Menteri Perusahaan Perladangan dan Komoditi Datuk Seri Mah Siew Keong, Menteri Pertanian dan Industri Asas Tani Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek, Menteri di Jabatan Perdana Menteri Datuk Seri Jamil Khir Baharom dan Datuk Seri Abdul Rahman Dahlan, Menteri Komunikasi dan Multimedia Datuk Seri Dr Salleh Said Keruak, Menteri Kewangan Kedua Datuk Seri Johari Ghani, Menteri Besar Johor Datuk Seri Khaled Nordin dan Menteri Besar Kedah Datuk Seri Ahmad Bashah Md Hanipah.

Kenapa BN kalah? Bagi saya, ia adalah kerana kedegilan Najib untuk berundur selepas isu 1MDB dan isu derma RM2.6 bilion meletus. Jika beliau berundur dari awal, timbalannya Datuk Seri Dr Zahid Hamidi mampu memulihkan semula imej Umno yang tercalar dalam masa satu tahun.

Kubu kuat Umno di Johor tumbang. Ini bermakna orang Umno sendiri yang menyokong PKR untuk mengajar Najib yang enggan berundur. Adakah mereka akan mengundi semula BN lima tahun akan datang? Ia bergantung kepada siapa yang memimpin Umno.

Najib perlu berundur dari jawatan Presiden Umno untuk memberi laluan kepada Zahid memulihkan Umno dalam masa lima tahun akan datang. Tanpa kuasa kerajaan pusat mampukah Zahid memulihkan semula Umno? Adakah Umno akan jadi seperti LDP di Jepun dan Parti Kongres di India? Umno perlu lahirkan pemimpin baru yang tidak rasuah untuk mengembalikan semula kepercayaan rakyat. Semoga keputusan PRU ini dapat muhasabah diri para pemimpin Umno supaya tidak angkuh dengan kuasa yang dipinjamkan Allah.

Leave a Reply

Top