MH Online

Laman Suara Rakyat

Najib Paksa Lulus Pinjaman SRC

Najib Paksa Lulus Pinjaman SRC

KUALA LUMPUR, Pegawai kanan kerajaan mendedahkan beliau menerima tekanan daripada pelbagai pihak termasuk bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Razak, untuk menyiapkan Memorandum Jemaah Menteri (MJM) bagi pengeluaran surat jaminan kerajaan.

Surat jaminan itu dipohon oleh SRC International Sdn Bhd (SRC) untuk mendapatkan pinjaman RM2 bilion daripada Kumpulan Wang Persaraan Diperbadankan (KWAP) pada 2011.

Bekas Setiausaha Bahagian Pengurusan Pinjaman Pasaran Kewangan dan Aktuari Kementerian Kewangan, Datuk Maliami Hamad, dalam keterangannya berkata MJM itu perlu disediakan segera untuk dibentangkan dalam mesyuarat Kabinet pada 17 Ogos 2011.

Saksi ke-43 pendakwaan itu melalui pernyataan saksi, berkata arahan untuk menyegerakan penyediaan MJM bukan saja datang daripada SRC tetapi juga Ketua Setiausaha Perbendaharaan (KSP) sendiri iaitu Tan Sri Dr Wan Abdul Aziz, yang diyakininya menerima arahan daripada Najib.

“Saya turut menerima arahan yang sama daripada Ketua Setiausaha Sulit Perdana Menteri, arwah Datuk Azlin Alias dan saya percaya arahan itu diterima terus daripada Perdana Menteri.

“Arahan yang saya terima adalah secara lisan untuk memastikan MJM itu disediakan dengan segera bagi mendapatkan kelulusan Kabinet, pada minggu yang sama,” katanya.

Ketika membaca pernyataan bertulisnya, Maliami, berkata semua arahan dan tekanan yang diterima daripada semua pihak itu diturunkan kepada pegawai bawahan.

Beliau kemudian mengarahkan pegawainya, Afidah Azwa, memastikan MJM disediakan bagi pertimbangan dan tandatangan Menteri di Jabatan Perdana Menteri ketika itu, Tan Sri Nor Mohamed Yakcop, supaya dapat dikemukakan kepada Bahagian Kabinet Jabatan Perdana Menteri pada hari yang sama, iaitu 15 Ogos 2011.

“Setahu saya, MJM dibentang dan diluluskan oleh Kabinet pada 17 Ogos 2011 seperti tertera dalam minit mesyuarat Jemaah Menteri yang diterima oleh Kementerian Kewangan tidak lama selepas itu.

“Kementerian Kewangan memaklumkan bahawa Kabinet sudah meluluskan Jaminan Kerajaan (GG) dan saya kemudian menandatangani surat bertarikh 22 Ogos 2011 dan memaklumkannya kepada SRC,” katanya pada perbicaraan kes yang masuk hari ke-33.

Maliami, berkata deraf GG yang diluluskan oleh Bahagian Undang-undang Kementerian Kewangan kemudian diangkat untuk ditandatangani Menteri Kewangan kedua ketika itu, Datuk Seri Ahmad Husni Hanadzlah.

“Surat GG bertarikh 26 Ogos 2011 adalah untuk pembiayaan pinjaman KWAP kepada SRC berjumlah RM2 bilion,” katanya.

Maliami berkata ketika permohonan GG pertama pada 2011 dan yang kedua pada 2012, beliau pernah ditanya oleh pegawai bawahannya (Afidah Azwa Abdul Aziz) mengapa Kementerian Kewangan perlu menyegerakan proses penyediaan MJM.

Katanya, soalan itu diajukan kerana beliau (Afidah Azwa) tidak mempunyai masa yang mencukupi untuk membuat pengesahan maklumat yang diterima daripada SRC, sebelum dimasukkan ke dalam MJM yang disediakan untuk dibentangkan kepada Kabinet.

“Saya memaklumkan kepada Afidah Azwa bahawa arahan kepada saya daripada KSP adalah kerana SRC mendapat perhatian khas daripada Najib sendiri dan keperluan SRC untuk mendapatkan dana adalah mendesak,” katanya.