Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak hari ini mengumumkan kerajaan meluluskan peruntukan khas RM1 juta untuk menaik taraf Pusat Latihan Perindustrian dan Pemulihan (PLPP) Bangi bagi menjadikannya pusat kecemerlangan Orang Kurang Upaya (OKU) yang moden.

Beliau mengumumkannya ketika meluangkan masa sejam melawat PLPP itu, yang merupakan institusi di bawah Jabatan Kebajikan Masyarakat bagi memberikan perkhidmatan kepada OKU melalui latihan vokasional dan pemulihan perubatan.

Najib berkata peruntukan itu akan digunakan untuk membeli peralatan, mesin pemulihan dan rawatan bagi tujuan fisioterapi serta menaik taraf pusat hidroterapi PLPP itu.

“Kerajaan sentiasa berusaha mewujudkan sebuah masyarakat yang prihatin dan penyayang dan seimbang supaya setiap insan terbela termasuk golongan OKU.

“Hari ini, saya memberi kelulusan dana sebanyak RM1 juta kepada pusat ini.
Mudah-mudahan dengan peruntukan ini, PLPP akan menjadi sebuah pusat kecemerlangan OKU yang lebih maju dan moden selain dapat memberi masa depan lebih bermakna kepada golongan itu,” katanya kepada pemberita.

Dalam lawatan itu, Najib yang diiringi Pengarah PLPP Ismail Arul Raj Amirudin, melawat ke bengkel prostetik dan ortotik, pusat hidroterapi, bengkel pembuatan kerusi roda serta gimnasium selain beramah mesra dengan pelajar dan pengajar.

Beliau memuji pusat itu yang menjalankan kerja-kerja dengan amat baik di mana golongan OKU diberi latihan untuk membolehkan mereka mendapat pekerjaan dan melakukan pemadanan kerja.

“Di samping itu, mereka juga mengeluarkan produk-produk seperti prostetik dan ortotik untuk dipasarkan.

Saya memberi persetujuan pusat ini dapat memasarkan produk-produk tersebut kepada Jabatan Kebajikan Masyarakat untuk membolehkan mereka mendapat pendapatan selain mewujudkan peluang pekerjaan kepada OKU di sini,” katanya.

Najib turut tertarik dengan produk yang dihasilkan di pusat itu termasuk kerusi roda F1.

“Kerusi roda F1 ini canggih dan reka bentuknya cukup menarik. Ini merupakan inovasi yang mereka lakukan dan mempunyai potensi untuk dipasarkan,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *