Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Najib Hubungi Anwar Di Malam Keputusan PRU14

Najib Hubungi Anwar Di Malam Keputusan PRU14

Bekas perdana menteri, Najib Razak menghubungi Anwar Ibrahim untuk meminta nasihat mengenai apa yang patut dilakukannya selepas BN mengalami kekalahan teruk pada malam pilihan raya umum, 9 Mei lalu.

Anwar, yang dibebaskan dari penjara selepas mendapat pengampunan Yang di-Pertuan Agong semalam berkata beliau menerima dua panggilan daripada Najib pada malam berkenaan.

“Ketika beliau menelefon pada malam PRU, saya menasihati beliau sebagai seorang kawan untuk akur dan teruskan hidup,” kata Anwar kepada agensi berita Reuters dalam wawancara di kediamannya di Kuala Lumpur.

Anwar berkata beliau meminta Najib mengeluarkan kenyataan pantas dan tidak melengah-lengahkan proses berkenaan.

Bagaimanapun, Najib tidak membuat sebarang kenyataan walaupun Dr Mahathir Mohamad mengumumkan kemenangan Pakatan Harapan beberapa jam selepas pengiraan undi bermula.

Pada sidang media keesokan harinya, Najib berkata tiada parti yang mendapat majoriti mudah dan Yang di-Pertuan Agong akan memutuskan siapa yang akan membentuk kerajaan.

“Dia berdalih dan enggan mengakui lebih awal,” kata Anwar berhubung perbincangannya pada malam pilihan raya itu.

Anwar berkata Najib memikirkan apa yang boleh dilakukannya dan siapa yang boleh berunding dengannya.

Bagaimanapun Anwar menegaskan bekas perdana menteri itu tidak mendekatinya untuk cuba berunding dengan beliau dalam “cara yang lebih serius”.

Leave a Reply

Top