Presiden UMNO Datuk Seri Najib Tun Razak tidak pernah melakukan pembahagian kompartmen sosial, sebaliknya sentiasa membela nasib semua kaum, kata Naib Presiden UMNO Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Beliau berkata sebagai seorang pemimpin yang bertanggungjawab, Najib, selaku perdana menteri, sentiasa mencari jalan untuk mewujudkan kesatuan dalam kalangan rakyat pelbagai kaum di negara ini.

Ahmad Zahid yang juga timbalan perdana menteri menyifatkan tindakan segelintir pihak yang melabelkan ucapan dasar presiden UMNO pada Perhimpunan Agung UMNO 2016 semalam sebagai membahagikan politik negara secara perkauman, adalah satu pandangan antagonis.

“Ia hanya analisis politik bersandarkan kepada kekecewaan. Saya fikir eloklah muhasabah diri,” katanya dalam sidang media bersama-sama Naib Presiden UMNO Datuk Seri Hishammuddin Tun Hussein di Pusat Dagangan Dunia Putra (PWTC), hari ini.

Ahmad Zahid yang juga menjalankan tugas timbalan presiden mengulas kenyataan Ketua Setiausaha Sekretariat Pakatan Harapan Datuk Saifuddin Abdullah yang mendakwa ucapan Najib mungkin boleh mengundang bencana perkauman di negara ini.

Mengulas perbahasan ucapan dasar presiden, beliau berkata kebanyakan isu yang dilontarkan para jurucakap menyentuh mengenai aspek kesetiaan kepada pemimpin selain kesatuan dalam kalangan anggota parti.

Ahmad Zahid berkata turut mendapat perhatian perwakilan adalah kesiapsiagaan parti dalam menghadapi pilihan raya umum ke-14 (PRU14) selain cabaran untuk menghadapi pelbagai fitnah dan tohmahan.

“Semangat jurucakap tahun ini berbeza dengan tahun sebelumnya, walaupun bergurau senda tapi mesej yang disampaikan padat dengan pesanan untuk kebersamaan dalam satu wadah, satu acuan,” katanya.

Sementara itu, Hishammuddin, yang juga pengerusi Jawatankuasa Usul Perhimpunan Agung UMNO 2016, berkata semua jurucakap yang dipilih berjaya melontarkan hujah mereka mengikut garis panduan ditetapkan.

“Apa yang disampaikan datang daripada akar umbi, mereka mencuit dan membawa teguran ahli di peringkat bawahan dan ia merupakan satu cabaran (kepada para pemimpin),” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *