MH Online

Laman Suara Rakyat

NADMA Tidak Sediakan Kenderaan Individu Tamat Kuarantin

NADMA Tidak Sediakan Kenderaan Individu Tamat Kuarantin

KUALA LUMPUR, Agensi Pengurusan Bencana Negara (NADMA) tidak menyediakan kenderaan untuk membawa pulang individu yang selesai menjalani tempoh kuarantin wajib di pusat kuarantin.

Sebaliknya, Menteri Kanan (Keselamatan), Datuk Seri Ismail Sabri Yaakob, menjelaskan NADMA hanya bertanggungjawab menyelaras pergerakan dan kebenaran pulang individu berkenaan.

“Timbul sedikit kekeliruan kerana ramai beranggapan NADMA akan menyediakan kenderaan untuk menghantar pulang individu yang selesai dikuarantin wajib di pusat kuarantin.

“Sebenarnya apa yang dilakukan oleh NADMA hanya menyelaras kepulangan mereka, sebagai contoh mereka boleh diambil di pusat kuarantin untuk dibawa pulang tetapi hanya seorang pemandu sahaja yang boleh bawa mereka pulang,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media harian Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) di Putrajaya, hari ini.