Anda di sini!
Utama > Hiburan > Nabila Teruja Ingin Sambut Ramadan Di Turki

Nabila Teruja Ingin Sambut Ramadan Di Turki

Biarpun sukar membayangkan suasana menyambut Ramadan di negara orang, penyanyi Nabila Razali mengakui teruja menanti kedatangan bulan mulia itu.

Bakal menjalani ibadah puasa di Turki kerana terikat dengan penggambaran drama, Cintaku Di Bumi Izmir selama sebulan, Nabila, 26, berkata, dia bersama pasukan produksi akan berlepas ke negara itu pada 8 Mei ini.

“Ini kali pertama saya berjauhan dengan keluarga sepanjang Ramadan. Pelbagai rasa menyelubungi, namun saya ambil kesempatan itu untuk menimba pengalaman baharu.

“Teruja rasanya mahu merasai suasana Ramadan di negara asing. Jika di sini, kita dimewahkan dengan pelbagai pilihan juadah untuk berbuka, suasana di sana mungkin berbeza. Tetapi, saya tiada masalah menyesuaikan diri.

“Lagipun, saya tidak begitu cerewet soal makan. Pastinya, di samping bekerja, saya tidak mahu lepaskan peluang untuk melipatgandakan amalan pada bulan mulia. Itu lebih penting,” katanya.

Penyanyi yang popular dengan lagu Pematah Hati itu berkata, Cintaku Di Bumi Izmir turut menguji dirinya apabila perlu mempelajari bahasa Turki.

Mengakui agak sukar untuk menguasainya, Nabila berusaha keras memastikan sebutan dan gaya pertuturan dalam bahasa itu tepat dan tidak kekok.

“Terbelit-belit lidah juga hendak menyebut sesetengah perkataan, tetapi ada keseronokannya kerana saya berpeluang belajar sesuatu yang baharu. Disebabkan komitmen terhadap drama ini, saya terpaksa menolak beberapa tawaran nyanyian.

“Tiada apa yang saya kesalkan, sebaliknya saya manfaatkan kesempatan ini untuk memperbaiki kelemahan diri,” katanya mengenai drama terbitan Creative Skill Solution itu yang turut menampilkan Syafie Naswip dan Hefny Sahad.

Nabila ditemui di Dataran Amanjaya, di sini sempena Festival GegaRia 2018 untuk berkongsi topik stail dan fesyen bersama pengunjung.

Leave a Reply

Top