Anda di sini!
Utama > Ekonomi > MyMarket, Pengusaha PKS Meterai Perjanjian Penghantaran Produk

MyMarket, Pengusaha PKS Meterai Perjanjian Penghantaran Produk

MyMarket Global Resources (MyMarket) dan kira-kira 150 pengusaha produk perusahaan kecil dan sederhana (PKS) hari ini menandatangani kontrak perjanjian bagi penghantaran produk keluaran mereka ke pasaran dalam dan luar negara.

Presiden MyMarket Global Resources (MyMarket), Datuk Hassan Saad berkata MyMarket yang menyamai model pasar raya besar, kini mempunyai kira-kira 500 jenis produk keluaran usahawan dan pengilang sektor itu untuk dipasarkan di bawah satu bumbung.

“MyMarket telah membuat penghantaran pertama pelbagai produk usahawannya ke Haji Ismail Group (HiG) di Langkawi selain turut menghantar ke pasar raya borong terpilih seperti pasar Borong KHNizam dan Karnival Laksa Antarabangsa Langkawi (LILAC) 2016 yang akan berlangsung pada 27-29 Mei ini,” katanya selepas menandatangani kontrak perjanjian itu, di sini hari Sabtu.

Turut hadir anggota Lembaga Koperasi Belia Nasional Berhad (Kobena) Rusly Hassan dan pengusaha produk PKS.

Hassan berkata bagi menjamin kualiti dan status halal produk PKS yang dipasarkan, MyMarket bekerjasama dengan KAZAI Innovative Ideas Solution bagi menyediakan khidmat nasihat dan latihan kepada pengusaha tersebut termasuk pensijilan halal untuk produk yang dihasilkan.

Pada majlis itu, Rusly menyerahkan replika kunci gudang kepada Hassan sebagai tanda usaha sama dan sokongan terhadap usaha MyMarket memasarkan produk industri kecil dan sederhana (IKS) ke pasaran antarabangsa.

“Kobena berbesar hati membuka gudang dengan keluasan 13 ekar (5.2 hektar) yang terletak di Pelabuhan Klang untuk digunakan oleh pihak MyMarket sebagai gudang simpanan produk PKS,” kata Rusly.

Katanya Kobena turut merancang untuk memasarkan produk berkenaan di pasar raya Takasyimaya di Jepun yang merupakan sebuah pasar raya terbesar di negara itu selain terdapat di beberapa negara lain seperti Singapura dan Vietnam.

MyMarket dan Kobena sebelum ini menandatangani perjanjian untuk membuka pasar raya menjual produk usahawan PKS dan yang pertama dijangka beroperasi di Pontian, Johor sebelum Ramadan ini.

Dalam pada itu, Hassan turut mengumumkan kolaborasi MyMarket dengan Bernama TV bagi penerbitan program 13 episod mengenai pengusaha tempatan yang akan disiarkan tidak lama lagi.

Leave a Reply

Top