MH Online

Laman Suara Rakyat

MYHaus Bantu Sediakan Rumah Selesa Pada Golongan Sasar

MYHaus Bantu Sediakan Rumah Selesa Pada Golongan Sasar

PUTRAJAYA, Kerajaan akan melancarkan program MYHaus bagi membantu kumpulan sasar untuk mendiami rumah yang lebih selamat dan selesa.

Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama) Datuk Dr Zulkifli Mohamad Al Bakri, berkata program yang akan dilancarkan Ogos itu secara tidak langsung dapat meningkatkan kualiti hidup kumpulan sasar.

Program MYHaus akan dibahagikan kepada beberapa kategori iaitu sama ada untuk membina semula rumah, membaik pulih serta membaiki kerosakan.

“Semua baik pulih atau bina semula rumah berkenaan akan disiapkan dalam tempoh kurang daripada 10 hari.

“Dalam masa sama, melalui program MYHaus itu juga kita akan memberi pendidikan rohani serta kesedaran sivik kepada isi rumah supaya pembangunan yang seimbang dapat dikecapi.

“Selain pembinaan rumah, isu seperti kebersihan, pendidikan seks menurut Islam dan aktiviti kerohanian adalah keutamaan program terbabit,” katanya dalam ucapannya sempena 100 hari menjawat jawatan sebagai Menteri di JPM, di Masjid Mahmoodiah, Presint 18, di sini, hari ini.

Mengulas mengenai pencapaian 100 hari beliau, Zulkifli berkata, pihaknya sudah menggerakkan usaha kebajikan melalui #MusaadahCOVID19 bagi membantu masyarakat dalam memerangi pandemik itu di negara ini.

“Melalui #MusaadahCOVID19, kita sudah menyalurkan sumbangan kepada 10 kelompok sasar yang memerlukan bantuan dengan perbelanjaan RM196.3 juta.

“Sejak 18 Mac lalu, kita sudah menjelajah dari Perlis hingga ke Sabah bagi menyalurkan pelbagai sumbangan mengikut kemampuan kami,” katanya.

Selain itu, pihaknya turut memperuntukkan RM5.3 juta bagi melaksanakan program Pembiayaan Mikro iTekad iaitu dari segi kewangan sosial.

Program itu bagi membantu memudahkan usahawan mikro B40 dan asnaf yang hilang punca pendapatan serta perniagaan yang terjejas akibat COVID-19.

Sementara itu, ditanya mengenai cabarannya selama 100 hari menjawat jawatan terbabit, Zulkifli berkata, beliau tidak menghadapi cabaran melainkan ada sedikit kekangan masa untuk melakukan semua program yang dirancang olehnya.

“Cabaran, tak besar. Cuma (mempunyai kekangan) masa untuk uruskan (perancangan) secara pantas, cekap dan (memberi) impak tinggi kepada ummah,” katanya.