Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Seri Mustapa Mohamed akan mengetuai delegasi Malaysia ke Forum Ekonomi Dunia (WEF) mengenai ASEAN 2017 selama tiga hari di Phnom Penh, bermula Rabu.

Lebih 630 peserta, termasuk 30 ketua-ketua negara/kerajaan, wakil kerajaan dan 500 pemimpin korporat global dijangka menghadiri forum tersebut.

Mustapa telah dijemput oleh WEF untuk mengetuai perbincangan mengenai pemudahan E-dagang pada sesi “Ke Arah Pasaran Tunggal Digital Serantau” pada Rabu, menurut Kementerian Perdagangan Antarabangsa dan Industri dalam kenyataan.

Peserta sesi itu akan membincangkan mengenai pendekatan yang praktikal untuk meningkatkan logistik, pengangkutan, peraturan pembayaran elektronik, pengesahan digital, persekitaran kawal selia berhubung perlindungan pengguna dalam talian.

Mustapa turut dijadualkan menemui rakan sejawatnya dari Kemboja, Pan Sorasak dan Menteri di Jabatan Perdana Menteri Kemboja, Datuk Othsman Hassan.

Mesyuarat sampingan lain termasuklah pertemuan dengan komuniti Malaysia, termasuk profesional perniagaan di Kemboja.

Timbalan Menteri Perdagangan Antarabangsa dan Industri Datuk Chua Tee Yong akan menyertai Plenari Pembukaan WEF: “50 Years Young”, Perhimpunan Tidak Rasmi Pemimpin Ekonomi Dunia (IGWEL): ASEAN pada 50, Mesyuarat Kumpulan Strategi Serantau ASEAN dan Kebudayaan Soiree yang dihoskan oleh kerajaan Kemboja.

Delegasi Malaysia termasuklah wakil dari sektor swasta, iaitu Pengerusi CIMB Group Holdings, Datuk Seri Nazir Razak; Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan AirAsia Group Bhd, Tan Sri Tony Fernandes; Pengarah Urusan, Presiden dan Ketua Pegawai Eksekutif Kumpulan Axiata Group, Tan Sri Jamaludin Ibrahim; dan Pengerusi Eksekutif Qi Group of Companies, Datuk Sri Vijay Eswaran.

WEF merupakan organisasi bebas antarabangsa bagi kerjasama awam-swasta, ditubuhkan empat dekad yang lalu dengan misi untuk meningkatkan keadaan ekonomi dunia.

Selain mesyuarat tahunannya di Davos yang diadakan pada Januari setiap tahun, WEF turut menganjurkan mesyuarat di peringkat serantau.

Malaysia menjadi tuan rumah bagi WEF mengenai ASEAN 2016 dan pada tahun ini, Kemboja telah dipilih sebagai negara tuan rumah.

WEF mengenai ASEAN 2017 bersempena dengan ulang tahun ASEAN ke-50,  sebuah rantau dengan jumlah penduduk seramai 630 juta orang, dan lebih daripada separuh di bawah umur 30.

Forum tersebut menawarkan platform yang sesuai untuk kerjasama yang lebih baik antara industri, kerajaan dan masyarakat sivil dalam membentuk masa depan golongan muda di rantau ini dan memanfaatkan sepenuhnya potensi ASEAN.

Tema bagi acara pada tahun ini ialah, “Belia, Teknologi dan Pertumbuhan: Meraih Digital dan Dividen Demografi ASEAN”, dan peserta akan melaksanakan wacana mengenai tiga tonggak utama iaitu: ASEAN dalam Konteks Global baharu, ASEAN dan Agenda Kesalinghubungan, dan ASEAN dan Agenda Belia.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *