MH Online

Laman Suara Rakyat

Mujahid Tawar Jadi Orang Tengah

PARIT BUNTAR, Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Hal Ehwal Agama), Datuk Dr Mujahid Yusof Rawa bersedia menawarkan diri menjadi orang tengah dalam menyelesaikan konflik pertikaian antara penceramah terkemuka, Dr Zakir Naik dan Timbalan Ketua Menteri II Pulau Pinang, Profesor P Ramasamy.

Menurutnya, cadangan itu dikemukakan setelah pihaknya menganggap penganjuran debat melibatkan dua tokoh itu secara terbuka tidak bersesuaian dengan budaya masyarakat negara ini yang berbilang agama dan kaum.

Beliau yang juga Ahli Parlimen Parit Buntar berkata, sebaliknya beliau berpendapat penganjuran satu pertemuan tertutup antara Zakir dan Ramasamy sebaiknya diadakan secara tertutup dengan beliau sendiri bersedia menjadi orang tengah bagi menjernihkan isu itu.

“Dalam suasana masyarakat negara ini berbilang bangsa dan agama, perdebatan secara terbuka antara dua tokoh itu bagi menentukan siapa lebih ekstremis dibimbangi akan mencetuskan ketegangan agama dan kaum.

“Lagipun segala pertuduhan dikemukakan terhadap Zakir masih belum disahkan di negara beliau sendiri iaitu India.

“Jadi, saya fikir Zakir mempunyai hak untuk tinggal di negara ini selagimana beliau mematuhi undang-undang negara,” katanya kepada media di sini hari ini.

Beliau berkata demikian ketika diminta mengulas isu cadangan penganjuran perdebatan secara terbuka antara Zakir dan Ramasamy oleh Mufti Perlis, Datuk Dr Mohd Asri Zainul Abidin bagi menentukan siapa pengganas yang sebenar.

Ini susulan cadangan Ramasamy supaya Zakir dihantar pulang ke India supaya hubungan Malaysia dan negara itu tidak terjejas.

Sebelum ini, Zakir difahamkan bersetuju berdebat secara terbuka dengan Ramasamy dengan bersyarat.

Ramasamy juga dilaporkan meletakkan syarat untuknya berdebat dengan Zakir seperti dicadangkan, namun pendakwah itu diminta pulang ke negaranya terlebih dahulu bagi menghadapi dakwaan dan membersihkan namanya.