MH Online

Laman Suara Rakyat

Mujahid Bertanggungjawab Atas Lelongan Aset TH

Mujahid Bertanggungjawab Atas Lelongan Aset TH

KUALA LUMPUR, Pendedahan surat perlucutan hak terhadap pembelian semula aset Lembaga Tabung Haji (TH) oleh bekas Perdana Menteri, Datuk Seri Najib Tun Razak adalah suatu yang amat mengejutkan.

Ketua Pemuda UMNO, Dr Asyraf Wajdi Dusuki berkata, surat kepada Urusharta Jemaah Sdn Bhd (UJSB) itu ditandatangani sendiri oleh Nik Mohd Hasyudeen Yusof, Pengarah Urusan Kumpulan merangkap Ketua Pegawai Eksekutif TH.

Menurutnya, surat rasmi TH bertarikh 3 Disember 2019 itu mendedahkan Menteri Agama di bawah Pakatan Harapan (PH), Dr Mujahid Yusof Rawa meluluskan pengecualian hak penolakan pertama bagi 18 aset hartanah TH yang dipindahkan ke UJSB.

“Dengan bahasa mudah, Dr Mujahid selaku Menteri pada waktu itu telah menggunakan kuasa yang diperuntukkan di bawah Akta Tabung Haji 1995 untuk melepaskan hak TH membeli semula aset hartanah bagi membolehkan semua aset TH tersebut dilelong kepada pihak luar.

“Jika ini benar-benar dilaksanakan, aset-aset hartanah TH termasuk hotel-hotel TH di beberapa lokasi strategik seluruh negara bahkan punya prospek keuntungan tinggi akan hilang buat selama-lamanya daripada pegangan TH.

“Untuk makluman Kerajaan Pakatan Harapan (PH) menjual aset-aset milik TH kepada UJSB berjumlah hampir RM10 bilion dengan harga RM19.9 billion, atas dakwaan TH mengalami defisit aset berbanding liabiliti berjumlah RM4.1 bilion di bawah program penstrukturan semula aset TH,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

Asyraf Wajdi berkata, pendedahan surat itu menunjukkan Dr Mujahid tidak berkata benar apabila membuat kenyataan pada 24 Januari 2020 bahawa tiada campur tangan dalam urusan penjualan aset TH.

Justeru, menurutnya, Pemuda UMNO mendesak Dr Mujahid untuk segera memberi penjelasan berkenaan perkara tersebut dan mengambil tanggungjawab di atas tindakan yang jelas tidak meletakkan kepentingan TH serta pendeposit sebagai keutamaan semasa menjadi Menteri Agama.

“Pemuda UMNO juga menggesa agar pihak Kementerian Kewangan selaku pemilik UJSB untuk segera menyiasat perkara ini dan memaklumkan kepada rakyat akan status aset-aset milik TH yang masih dipegang dan diuruskan oleh UJSB,” katanya.