MH Online

Laman Suara Rakyat

Muhyiddin Yassin Wajar Letak Jawatan

Muhyiddin Yassin Wajar Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin wajar meletakkan jawatan kerana mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong yang mahu semua Ordinan Darurat dibahas dan diungkaikan di Parlimen, seiring dengan Perkara 150(3) Perlembagaan Persekutan.

Presiden UMNO, Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi, berkata Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-Undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan juga mesti berundur kerana menderhaka titah Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah.

Sehubungan itu, beliau juga mengarahkan Ahli-ahli Parlimen UMNO menzahir dan melaksanakan keputusan Majlis Kerja Tertinggi (MKT) parti itu pada 7 Julai lalu, untuk menarik sokongan ke atas Muhyiddin sebagai Perdana Menteri.

“Keputusan ini bagi memenuhi sumpah jawatan selaku Ahli Parlimen yang wajib menumpahkan taat setia kepada Yang di-Pertuan Agong dan memelihara, melindungi dan mempertahan Perlembagaan Persekutuan pada setiap masa.

“Pendirian ini juga seiring dengan asas dan matlamat penubuhan UMNO untuk sentiasa memelihara dan membela institusi Raja-Raja Melayu sebagaimana termaktub dalam Fasal 3 Perlembagaan UMNO,” katanya dalam kenyataan, hari ini.

Sementara itu, Ahmad Zahid, berkata UMNO amat kesal dengan tindakan kerajaan pimpinan Muhyiddin yang mengingkari titah Yang di-Pertuan Agong berhubung Ordinan Darurat.

Katanya, lebih mendukacitakan apabila Seri Paduka Baginda sendiri mendedahkan pembatalan Ordinan Darurat sebagaimana yang diumumkan Takiyuddin pada Isnin lalu di Parlimen amat mengelirukan, kerana hakikatnya belum lagi mendapat perkenan baginda.

“Tindakan ini jelas merupakan satu bentuk penderhakaan kepada Yang di-Pertuan Agong, bahkan membelakangi prinsip Perlembagaan Persekutuan,” katanya.

Al-Sultan Abdullah hari ini menzahirkan rasa amat dukacita dengan pengumuman kerajaan berkenaan pembatalan semua Ordinan Darurat kerana ia belum diperkenankan baginda.

Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsuddin, berkata Seri Paduka Baginda turut menzahirkan rasa amat dukacita kerana apa yang diperkenan dan dititahkan kepada Takiyuddin Hassan dan Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semasa majlis menghadap secara maya 24 Julai lalu, cadangan pembatalan semua Ordinan Darurat dibentang dan dibahaskan di Parlimen bagi tujuan diungkaikan, telah tidak dilaksanakan.

“Seri Paduka Baginda menegaskan bahawa kenyataan Yang Berhormat Menteri di Parlimen pada 26 Julai adalah tidak tepat dan telah mengelirukan Ahli-Ahli Dewan Rakyat.

“Seri Paduka Baginda turut menegaskan bahawa permohonan pembatalan semua Ordinan Darurat berkuat kuasa pada 21 Julai telah dilakukan secara tergesa-gesa tanpa pembentangan di Parlimen dan kenyataan yang bercanggah serta mengelirukan di Parlimen.

“Ia bukan sahaja gagal menghormati prinsip kedaulatan undang-undang yang terkandung dalam Rukun Negara, malah telah membelakangi fungsi dan kuasa Seri Paduka Baginda selaku Ketua Utama Negara seperti yang termaktub di dalam Perlembagaan Persekutuan,” katanya dalam kenyataan Istana Negara.