MH Online

Laman Suara Rakyat

Muhyiddin Tidak Terbabit Pembebasan Riza Aziz

Muhyiddin Tidak Terbabit Pembebasan Riza Aziz

KUALA LUMPUR, Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin menegaskan bahawa beliau tidak terbabit dalam persetujuan melepas tanpa membebaskan Riza Shahriz Abdul Aziz yang juga anak tiri Datuk Seri Najib Razak daripada pertuduhan pengubahan wang haram berkaitan penyelewengan dana 1Malaysia Development Berhad (1MDB).

Pejabat Perdana Menteri menerusi kenyataan sebaliknya menjelaskan keputusan itu dicapai bersandarkan persetujuan antara pihak pendakwaan dan tertuduh melalui representasi yang dikemukakan Pejabat Peguam Negara.

“Perdana Menteri mengulangi pendiriannya untuk tidak mencampuri urusan Pejabat Peguam Negara dan badan kehakiman dalam membuat apa-apa keputusan berkaitan kes-kes jenayah di negara ini, termasuk kes-kes berprofil tinggi,” katanya dalam kenyataan itu hari ini.

Media sebelum ini melaporkan Riza dilepas tanpa dibebaskan oleh Mahkamah Sesyen atas tuduhan pengubahan wang haram membabitkan AS$248 juta (RM1.25 bilion) berkaitan penyelewengan dana 1MDB.

Hakim Azman Ahmad membuat keputusan itu selepas pihak pendakwaan dan pembelaan mencapai persetujuan melalui representasi yang dikemukakan kepada Pejabat Peguam Negara.

Menerusi persetujuan representasi itu, Malaysia dijangka menerima aset luar negara bernilai RM465.3 juta (AS$107.3 juta).

Bagaimanapun, bekas Peguam Negara, Tan Sri Tommy Thomas dalam satu kenyataan menafikan beliau terbabit dalam isu melepaskan tanpa membebaskan Riza daripada pertuduhan.

Tommy turut menafikan dakwaan Suruhanjaya Pencegahan Rasuah Malaysia (SPRM) sebelum ini bahawa beliau membuat pertimbangan dan memberikan persetujuan untuk melepas tanpa membebaskan Riza.

Peguam Negara, Tan Sri Idrus Harun, semalam pula dilaporkan berkata Tommy secara prinsip bersetuju dengan cadangan representasi bagi mengkaji semula pertuduhan berhubung pengubahan wang haram terhadap Riza.

Idrus menjelaskan Timbalan Pendakwa Raya Kanan, Datuk Seri Gopal Sri Ram selepas berbincang dengan Ketua Pesuruhjaya SPRM ketika itu, Latheefa Koya, turut mencadangkan supaya cadangan dalam representasi berkenaan diterima oleh SPRM.