MH Online

Laman Suara Rakyat

Muhyiddin Tiada PIlihan, Letak Jawatan

Muhyiddin Tiada PIlihan, Letak Jawatan

KUALA LUMPUR, Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim (PH-Port Dickson) ketika sidang khas Dewan Rakyat pada Khamis menggesa Perdana Menteri, Tan Sri Muhyiddin Yassin segera meletak jawatan.

Beliau berkata, ia susulan kenyataan Istana Negara bahawa Yang di-Pertuan Agong Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah amat dukacita dengan keputusan kerajaan melaksanakan pembatalan Ordinan Darurat yang membelakangkan kuasa Istana Negara.

Dewan Rakyat senyap seketika apabila ahli-ahli Parlimen mendengar Anwar membacakan secara spesifik perenggan kenyataan Datuk Pengelola Bijaya Diraja Istana Negara, Datuk Indera Ahmad Fadil Shamsudddin tersebut.

Anwar berkata, kenyataan Menteri di Jabatan Perdana Menteri (Parlimen dan Undang-undang), Datuk Seri Takiyuddin Hassan bukan sahaja menimbulkan krisis Perlembagaan, malah telah menghina institusi diraja serta menipu Dewan Rakyat dan rakyat Malaysia.

“Yang di-Pertuan Agong menzahirkan rasa amat dukacita dengan kenyataan dibuat di Parlimen pada 26 Julai. Ahli-ahli Parlimen daripada semua parti dengar.

“Kenyataan ini jelas menunjukkan kabinet yang diketuai Perdana Menteri telah melanggar semangat Perlembagaan, menghina institusi raja, mengelirukan Dewan dan tidak bercakap benar kepada Dewan.

“Kita tak ada pilihan selain menuntut Perdana Menteri meletakkan jawatan,” katanya pada sidang Dewan Rakyat pada Khamis.

Hujah Anwar membuatkan Dewan Rakyat bertukar kecoh dengan celahan daripada ahli-ahli Parlimen yang mengecam kerajaan Perikatan Nasional (PN).

Turut menyokong hujah Anwar ialah Ahli Parlimen Simpang Renggam, Dr Maszlee Malik yang menyifatkan Muhyiddin dan Takiyuddin perlu bersikap lebih berani dengan meletakkan jawatan.

“Jika dibiarkan perkara ini berlaku tanpa ada sikap ‘gentleman’ daripada Pagoh dan Kota Bharu untuk meletakkan jawatan, ia akan menjadi titik hitam dalam sejarah negara,” kata Maszlee.

Dewan Rakyat pada penghujung sesi pagi Khamis kecoh ketika membangkitkan kenyataan terbaharu Istana Negara itu.

Timbalan Yang Dipertua Dewan Rakyat, Datuk Mohd Rashid Hasnon kemudian memutuskan persidangan ditangguhkan selama 15 minit sebagaimana didesak ahli-ahli Parlimen yang menuntut penjelasan kerajaan berhubung kenyataan Istana Negara berkenaan.

Bagaimanapun, 15 minit kemudian, Mohd Rashid masuk semula ke Dewan dan memaklumkan bahawa mesyuarat akan dimulakan semula pada jam 2.30 petang.

Tindakan itu menimbulkan tidak puas hati ahli-ahli Parlimen pembangkang yang menuntut keputusan sama ada isu pembatalan Ordinan Darurat akan dibahaskan atau tidak.