MH Online

Laman Suara Rakyat

MTUC Mahu Isu Pekerja Ditamatkan Perkhidmatan Dan Pengangguran Diselesaikan

MTUC Mahu Isu Pekerja Ditamatkan Perkhidmatan Dan Pengangguran Diselesaikan

KUALA LUMPUR, Kongres Kesatuan Sekerja Malaysia (MTUC) berharap 2021 akan memberi penyelesaian kepada pekerja yang ditamatkan perkhidmatan.

Setiausaha Agungnya, Kamarul Baharin Mansor, berkata langkah yang proaktif perlu diambil oleh kerajaan dalam usaha menangani masalah pengangguran.

Sebelum ini, beliau berkata MTUC pernah mencadangkan Peraturan Pemberhentian Darurat kepada kerajaan pada awal pandemik COVID-19 untuk dilaksanakan supaya pemberhentian kerja dapat dikurangkan.

“MTUC menyeru rundingan bersama kerajaan dapat diadakan segera bagi membolehkan akta yang membabitkan pekerja diperhalusi dan disesuaikan dalam keadaan semasa, serta boleh diadaptasi supaya keharmonian perusahaan yang jitu di tempat kerja dipertingkatkan.

“MTUC menegaskan agenda yang perlu dilaksanakan dan diberi keutamaan adalah pindaan Akta Kerja dan Akta Hal Ehwal Kesatuan Sekerja.

“Kedua-dua akta ini perlu dipercepatkan dan dibentangkan di Parlimen pada suku kedua 2021,” katanya dalam kenyataan hari ini.

Untuk itu, beliau berkata MTUC berharap pertemuan dan perbincangan dengan semua pihak berkaitan sama ada kerajaan mahupun majikan amat diperlukan bagi mengimbang dan memastikan pekerja terus mendapat manfaat.

Menyentuh krisis kesihatan COVID-19 yang menjadi cabaran terbesar ketika ini, Kamarul berharap penemuan vaksin dapat memberi sinar kepada negara khususnya pekerja supaya lebih komited dan yakin membawa kemajuan kepada negara.

Beliau mengajak semua pihak menghadapi cabaran tahun lalu dan melangkah ke gerbang 2021 dengan harapan.

“Pada 2021 dengan harapan hak asasi pekerja terbela dan dimuliakan semua pihak.

“Pandemk COVID-19 menguji kebersamaan kita dan daya ketahanan negara yang terdiri daripada pelbagai kaum. Semoga ada sinar untuk pekerja pada 2021,” katanya.