MRT Corp membidas kenyataan ahli Parlimen pembangkang, Rafizi Ramli kerana melabel projek mega rangkaian kereta api Transit Aliran Massa (MRT) sebagai “projek yang teruk”.

Dalam kenyataan pada Sabtu, MRT Corp berkata, anggota Parlimen Pandan itu tidak menyatakan penjelasan lanjut berhubung dakwaan tersebut.

Syarikat itu turut menyuarakan kekesalan terhadap cubaan Rafrizi untuk mempolitikkan sebuah projek yang secara jelas memberi manfaat kepada rakyat.

“Satu daripada dakwaan terhadap MRT adalah berkenaan kos RM40 bilion yang digambarkan sebagai ‘bajet asal’ projek tersebut.

“MRT Corp mahu menjelaskan bahawa angka itu diperoleh daripada konsep cadangan yang dikemukakan pada 2010.

“Oleh itu tidak relevan dakwaan itu digunakan sebagai perbandingan dengan projek yang kini telah direalisasikan,” jelas kenyataan tersebut.

Dalam pada itu, MRT Corp menjelaskan, cadangan awal yang dihantar kepada Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD) mengalami perubahan ketara selepas kerajaan menilai semula dan melakukan kajian terhadapnya.

Syarikat pengangkutan tersebut juga menekankan bahawa projek MRT bukan projek swasta tetapi dimiliki dan dibiayai sepenuhnya oleh kerajaan menerusi MRT Corp.

Selain itu, MRT Corp menambah, kesemua tender untuk projek rangkaian Sungai Buloh-Kajang (SBK) dan Sungai Buloh-Serdang-Putrajaya (SSP) diberikan menerusi sistem tender terbuka.

“Untuk pembinaan laluan MRT3 yang dikenali sebagai Laluan Lingkaran, MRT Corp sentiasa menegaskan bahawa kajian terperinci untuk laluan itu sedang dilaksanakan.

“Keputusan kajian itu dijangka diketahui pada suku pertama 2017.

“Berdasarkan kajian itu, berkemungkinan MRT akan menyatakan anggaran kos bagi pembinaan MRT3.

“Sebarang angka yang dilaporkan adalah spekulasi semata-mata dan sebarang dakwaan yang menyatakan MRT Corp mengumumkan jumlah tertentu untuk projek berkenaan adalah tidak benar,” jelas kenyataan berkenaan.

Sejak pelancaran laluan SBK, Rafizi mengecam projek berkenaan dengan dakwaan pembinaan projek pengangkutan awam itu akan menambah hutang negara.

Sebelum ini, Rafizi mendakwa kos projek itu menelan belanja sebanyak RM1 bilion bagi setiap kilometer tetapi tuduhan itu disangka MRT dengan penjelasan bahawa laluan sejauh 51 kilometer melibatkan kos RM21 bilion.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *