Majlis Profesor Negara (MPN) mencadangkan beberapa penambahbaikan dilakukan bagi pemberian Bantuan Rakyat 1Malaysia (BR1M) yang mampu memberi manfaat kepada kerajaan dan juga penerima bantuan itu.

Timbalan Ketua Kluster Ekonomi dan Pengurusan MPN, Prof Datuk Dr Jamal Othman, berkata antara penambahbaikan itu termasuk membuat pindahan wang secara bersyarat atau memberi kupon makanan seperti yang dilakukan negara luar.

Katanya, pemberian BR1M sebelum ini yang dilakukan secara pindahan wang dari kerajaan kepada penerima dilihat tidak lagi relevan kerana sukar untuk mencapai objektif yang ditetapkan.

“Pindahan wang secara bersyarat itu sebagai contohnya penerima perlu menghadiri kursus meningkatkan taraf hidup seperti kursus keusahawanan. Dengan adanya kursus seperti ini penerima mampu meningkatkan pendapatan menerusi perniagaan sekali gus tidak lagi tergolong di kelompok yang sama setiap tahun.

“Bagi pemberian kupon pula, mungkin boleh gunakan kupon untuk pembelian makanan atau barangan di kedai terpilih yang secara tidak langsung akan memberi manfaat kepada negara untuk terus membantu golongan yang memerlukan,” katanya pada sidang media mengenai Bajet 2018, di sini hari ini.

Hadir sama Presiden MPN, Prof Datuk Dr Raduan Che Ros.

Mengulas lanjut Jamal berkata, penggunaan kupon makanan itu sudah diguna pakai oleh banyak negara termasuk Amerika Syarikat, Bangladesh dan Malawi dan kaedah itu ternyata meningkatkan ekonomi apabila penerima menggunakannya di premis perniagaan tempatan.

“Bagi penggunaan pindahan wang bersyarat pula boleh dilaksanakan di kawasan di mana akses kepada program pembayaran tunai atau kedai bagi penggunaan kupon berkenaan adalah terhad,” katanya.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *