Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MPM Mahu Waytha Moorthy Dilucutkan Jawatan

MPM Mahu Waytha Moorthy Dilucutkan Jawatan

KUALA LUMPUR, Majlis Perundingan Melayu (MPM) mendesak P Waytha Moorthy dilucutkan daripada jawatan Menteri di Jabatan Perdana Menteri kerana didakwa tidak layak berada dalam Kabinet terutama memimpin portfolio perpaduan negara.

Setiausaha Agung MPM, Datuk Dr Hassan Mad, berkata terserlah diri sebenar Waytha Moorthy yang gagal menjalankan tugas diamanahkan kepadanya.

Katanya, dalam insiden rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman USJ 25 , Subang Jaya baru-baru ini, jelas Waytha Moorthy tidak mempedulikan insiden itu.

“Kerajaan wajib memberikan perlindungan secukupnya kepada keselamatan penjawat awam dalam menjalankan tugas mereka, terutama dalam kes sensitif seperti ini.

“Penjawat awam, seperti pegawai dari Jabatan Bomba dan Penyelamat wajib diberikan dan dijamin perlindungan keselamatan secukupnya oleh polis sebelum menjalankan tugas di lokasi sensitif seperti ini.

“Waytha Moorthy terlalu sibuk melakukan pembohongan di luar negara, sehingga gagal menjalankan tugas sebagai menteri yang menjaga portfolio perpaduan.

“Beliau langsung tak ambil peduli kekecohan yang berlaku di kuil Sri Maha Mariamman sehingga menyebabkan kaum India merusuh dan bertindak liar,” katanya dalam satu kenyataan hari ini.

Desakan MPM itu berkaitan tindak tanduk Waytha Moorthy dalam isu kuil Sri Maha Mariamman yang mendapat reaksi negatif orang ramai kerana menyalahkan polis lambat bertindak dalam kes itu.

Dalam kejadian awal pagi Selasa, seorang anggota bomba, Muhammad Adib Mohd Kassim, 24 dipercayai dipukul sekumpulan perusuh ketika operasi memadam kebakaran kenderaan dekat kuil Hindu berkenaan.

Anggota bomba itu kini dirawat di Institut Jantung Negara (IJN) di ibu negara.

Kelmarin bekas wartawan, Datuk A Kadir Jasin meluahkan isi hati beliau terhadap tindak tanduk Waytha Moorthy menteri lantikan senator yang tidak membantu mengukuhkan perpaduan negara dan integrasi nasional, selaras portfolio beliau dalam Kabinet dalam isu kuil berkenaan.

MPM turut mendesak Menteri Besar Selangor menyingkirkan EXCO negeri yang dengan sengaja mengaitkan Islam dengan keganasan ekoran insiden di kuil itu yang tiada kena mengena langsung dengan masyarakat Islam.

“Menteri Dalam Negeri juga wajib mengambil tindakan terhadap EXCO berkenaan mengikut Akta Hasutan kerana mengeluarkan kenyataan berbaur hasutan, menghina orang Islam yang tiada kena mengena dengan insiden di kuil itu,” katanya.

Sebelum ini dilaporkan Pengerusi Jawatankuasa Tetap Pemberdayaan dan Pembangunan Sosio Ekonomi dan Kerajaan Prihatin negeri, yang juga Ahli Dewan Undangan Negeri (ADUN) Kota Kemuning, V Ganabatirau mengeluarkan kenyataan yang mengaitkan kumpulan Islam dalam rusuhan di kuil Sri Maha Mariamman pada awal pagi Isnin lalu.

Dalam perkembangan sama, MPM juga mendesak Sekretariat Perhimpunan Rakyat Malaysia, UMMAH meneruskan usaha mendesak kerajaan menyingkirkan Waytha Moorthy dari semua jawatan dalam kerajaan.

“Tindak-tanduk Waytha Moorthy dan kegagalannya menjalankan amanah sebagai menteri menjaga perpaduan negara teramat bahaya kepada keselamatan dan keharmonian kaum dan masyarakat majmuk di negara ini,” katanya.

Leave a Reply

Top