MH Online

Laman Suara Rakyat

MPKM Bermesyuarat Kali Pertama

MPKM Bermesyuarat Kali Pertama

PUTRAJAYA, Majlis Perundingan Komunikasi dan Multimedia (MPKM) bermesyuarat kali pertama, hari ini sebagai platform bagi kerajaan membincangkan dan mendapatkan input daripada pemegang taruh dalam merencanakan pendekatan dan dasar bagi isu komunikasi dan multimedia.

Menteri Komunikasi dan Multimedia, Datuk Saifuddin Abdullah yang mempengerusikan mesyuarat itu, berkata MPKM menggabung jalinkan wakil daripada tiga sektor iaitu kerajaan, perniagaan (swasta) dan masyarakat sivil.

“Hari-hari di mana kerajaan mengetahui segala-galanya telah berakhir. Oleh yang demikian, kita mengadakan hubungan akrab antara kerajaan dan pemegang taruh lain sama ada pihak swasta atau masyarakat sivil.

“Dalam masyarakat sivil pula ada banyak komponen termasuk media, ahli akademik, profesional, wanita, belia dan sebagainya,” katanya semasa berucap pada pembukaan mesyuarat itu.

Menurut kenyataan yang dikeluarkan Kementerian Komunikasi dan Multimedia (KKMM) sempena mesyuarat itu, penubuhan MPKM adalah selari dengan matlamat kementerian ke arah memacu kecendekiaan dalam masyarakat.

Menurut KKMM, ia juga seiring dengan visi kementerian iaitu melahirkan masyarakat terhubung, berinformasi, kreatif dan berbudaya digital.

“Segala undang-undang, dasar dan program kementerian adalah wahana untuk mencapai matlamat itu,” katanya.

MPKM dianggotai oleh 15 ahli termasuk tiga dari KKMM iaitu Saifuddin sebagai pengerusi, timbalannya Datuk Zahidi Zainul Abidin sebagai timbalan pengerusi dan Ketua Setiausaha KKMM Datuk Suriani Ahmad.

Ahli MPKM lain ialah Pengerusi Lembaga Pengelola Dewan Bahasa dan Pustaka Prof Datuk Dr Awang Sariyan; bekas Setiausaha Kerajaan Negeri Sarawak Tan Sri Mohamad Morshidi Abdul Ghani; Tokoh Wartawan Negara 2019 Tan Sri Johan Jaafar; bekas Ketua Pengarah Agensi Angkasa Negara Prof Emerita Datuk Dr Mazlan Othman; dan Pengerusi UEM Sunrise Tan Sri Zamzamzairani Mohd Isa.

Turut menganggotai MPKM ialah Pengarah Program Third World Network Chee Yoke Ling; Pengerusi Persatuan Industri Komputer dan Multimedia Malaysia (PIKOM) Danny Lee; Pengerusi Gabungan Persatuan-Persatuan Pengguna Malaysia (FOMCA) Datuk Dr Paul Selvarajah; dan Naib Presiden Majlis Belia Malaysia (MBM) Kavita Mahendran.

Ahli lain ialah Ketua Pegawai Eksekutif Institut Kajian Pembangunan Sabah Tany Kiob@ Anthony Kiob; Wakil Malaysia dalam Suruhanjaya Antara Kerajaan ASEAN Mengenai Hak Asasi Manusia (AICHR) Eric Paulsen; dan pakar pembangunan start-up Mohd Razin Muhammad.

Pada mesyuarat hari ini, sebahagian ahli MPKM menghadiri mesyuarat yang berlangsung di KKMM dengan mengamalkan jarak sosial, manakala sebahagian pula menyertai mesyuarat secara persidangan video.

Pada mesyuarat itu juga, Saifuddin melancarkan satu pertandingan yang membuka peluang kepada anak muda warganegara Malaysia berumur antara 18 dan 30 tahun untuk menyumbangkan idea dan cadangan melalui program

“Ideas4KKMM” bagi penambahbaikan Pelan Strategik KKMM 2019-2023.

Beliau berkata, 10 idea terbaik yang disampaikan melalui esei tidak melebihi 750 patah perkataan yang boleh disertakan dengan infografik atau gambar akan dipilih untuk menerima hadiah istimewa.

“Saya juga akan menjemput mereka (pemenang) ke satu pertemuan khas bersama saya untuk mendengar pandangan anak muda tentang kementerian,” katanya.

Penyertaan boleh dikemukakan melalui laman sesawang KKMM https://www.kkmm.gov.my/awam/ideas4kkmm.