Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MOTAC Cadang Tukar Logo Visit Malaysia 2020

MOTAC Cadang Tukar Logo Visit Malaysia 2020

KUALA LUMPUR, Kementerian Pelancongan, Seni dan Budaya bercadang mengubah logo ‘Visit Malaysia 2020’ yang mendapat kecaman hebat selepas dilancarkan kerajaan terdahulu, awal tahun ini.

Timbalan Menterinya, Muhammad Bakhtiar Wan Chik berkata, perkara tersebut telah dibincangkan dengan Menteri Pelancongan, Datuk Mohammadin Ketapi dan mungkin akan dibawa ke mesyuarat kabinet minggu depan.

Katanya, antara isu yang akan dibincangkan termasuk sama ada meneruskan Tahun Melawat Malaysia 2020 atau memilih untuk membatalkannya.

“Tapi saya fikir kita akan teruskan Tahun Melawat Malaysia 2020. Kalau setuju, kita akan bincangkan pasal logo. Sebelum saya masuk kementerian, saya nampak logo tu, saya fikir apa punya logo ni.

“Sudah pasti, kalau tanya saya, saya akan dapatkan (logo) yang baru. Kemungkinan untuk tukar logo sangat tinggi sebab kita terima banyak kecaman terhadap logo tersebut,” katanya kepada Sinar Harian ketika ditemui selepas menghadiri Majlis Anugerah Minggu Media Sosial 2018, di sini, malam tadi.

Ahli Parlimen Balik Pulau itu juga mencadangkan supaya kementerian membuka penyertaan kepada semua rakyat Malaysia untuk sama-sama mencipta loga Tahun Melawat Malaysia 2020.

“Saya tak mahu sentuh siapa hasilkan rekaan itu tapi kita perlu buka kepada orang ramai sebab rakyat Malaysia ramai yang kreatif,” ujarnya.

Logo Tahun Melawat Malaysia 2020 menerima kecaman hebat apabila netizens menganggap logo tersebut tidak berkualiti malah ramai pereka menghasilkan rekaan yang lebih menarik dan disebarkan dalam media sosial.

Meskipun menerima kecaman hebat, Menteri Pelancongan dan Kebudayaan pada waktu itu, Datuk Seri Mohamed Nazri Abdul Aziz mempertahankan logo itu dan mengatakan orang luar menyukai logo tersebut.

Leave a Reply

Top