Orang ramai dinasihatkan segera membuat laporan jika didatangi pemandu Uber atau GrabCar yang cuba memujuk mereka supaya menggunakan perkhidmatan penghantaran yang ditawarkan tanpa menggunakan aplikasi tempahan secara sah.

Pengerusi Suruhanjaya Pengangkutan Awam Darat (SPAD), Tan Sri Syed Hamid Albar berkata antara tindakan mudah dan cepat pengguna yang dapat membantu pihak penguatkuasa dalam menangani masalah ini adalah dengan mengambil nombor pendaftaran kenderaan pemandu terbabit.

“Kita akan semak, tapi kena ada nombor kereta barulah boleh kesan siapa punya kereta.

“Kemudian buat laporan cepat, kita boleh hantar orang untuk tindakan,” katanya.

Beliau mengulas pendedahan sebuah portal berita mengenai tindakan kelompok pemandu Uber/Grab yang sanggup bertukar status menjadi ‘ulat’ untuk mendapatkan penumpang di Lapangan Terbang Antarabangsa Kuala Lumpur (KLIA) dan KLIA2 gara-gara persaingan tinggi di lokasi berkenaan.

Portal berita tersebut telah menamakan kelompok pemandu ini sebagai ‘sesumpah’ bagi membezakannya dengan ‘ulat’ sedia ada, sesuai dengan sifat haiwan itu yang sering berubah-ubah mengikut persekitaran.

Menurut Syed Hamid, agak sukar untuk pihak berkuasa mengesan aktiviti licik pemandu-pemandu ini disebabkan mereka menggunakan kenderaan sendiri dan tidak mempunyai ‘tanda’ khas, sama seperti teksi sapu atau ‘ulat’ sedia ada yang telah wujud sejak sekian lama.

“Pemandu e-hailing ni susah untuk kita tangkap, nanti dia mengaku ambil saudara dialah, adik-beradiklah.

“Dia punya kereta tak ada tanda, itu yang susah bagi pihak kita, tapi ini berbalik kepada sikap bertanggungjawablah,” katanya dengan nada kesal.

Syed Hamid berkata, menunggu dan memujuk penumpang jelas sekali bertentangan dengan konsep e-hailing yang diamalkan di seluruh dunia.

Justeru, beliau berkata pihak berkuasa boleh mengambil tindakan ke atas mereka, manakala pihak Uber atau GrabCar juga tidak boleh berkompromi dengan pemandu-pemandu seperti ini.

Berdasarkan tinjauan, kerakusan aktiviti ‘sesumpah’ ini, termasuk ulat-ulat sedia ada menjadi antara faktor yang menyebabkan pendapatan harian pemandu teksi KLIA  terjejas kira-kira 50 peratus.

Syarikat Uber dan Grab juga dianggarkan ‘terlepas’ sejumlah komisen apabila pemandu mereka dengan pantas akan mematikan status sebagai pemandu yang sedang bertugas sebaik sahaja mendapat pelanggan, walaupun sebelum itu nama dua syarikat itu digunakan ‘memancing’ perhatian mereka.

Sehingga berita ini ditulis, Uber dan Grab masih belum memberikan komen atau tindak balas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *