MH Online

Laman Suara Rakyat

Mof Telah Bayar RM4.8 Bilion Kepada 6.5 Juta Penerima BPN

Mof Telah Bayar RM4.8 Bilion Kepada 6.5 Juta Penerima BPN

KUALA LUMPUR, Kerajaan hingga hari ini sudah menyalurkan Bantuan Prihatin Nasional (BPN) kepada 6.5 juta penerima golongan berpendapatan rendah (B40), membabitkan bayaran melebihi RM4.8 bilion, kata Kementerian Kewangan (MoF).

Namun begitu, terdapat sebahagian kecil penerima B40 yang sudah diluluskan BPN tetapi belum menerima pembayaran berkenaan kerana tidak mempunyai akaun bank atau bayaran BPN gagal dikreditkan ke dalam akaun mereka, kata MoF dalam kenyataan hari ini.

Justeru, MoF berkata, penerima berkenaan boleh menerima bayaran secara tunai di cawangan Bank Simpanan Nasional (BSN) mulai 17 April 2020 hingga 31 Disember 2020.

Penerima boleh melayari laman web BSN di www.mybsn.com.my untuk mendapatkan senarai cawangan BSN yang dibuka serta butiran lanjut.

MoF menasihatkan penerima yang pergi ke cawangan BSN supaya membawa kad pengenalan masing-masing serta mematuhi penjarakan sosial selain arahan kesihatan dan keselamatan daripada anggota polis dan Jabatan Sukarelawan Malaysia yang bertugas.

Inisiatif BPN adalah langkah PRIHATIN di bawah matlamat Lindungi Rakyat, bagi memastikan kerajaan dapat menyalurkan bantuan kepada golongan B40 yang amat memerlukan, terutama susulan lanjutan Perintah Kawalan Pergerakan hingga 28 April 2020.

“Kerajaan berharap agar bantuan ini dapat sedikit sebanyak meringankan beban kehidupan golongan yang disasar ini,” kata kementerian itu.