KOTA KINABALU, Kementerian Kewangan pada Isnin menjelaskan bahawa pindaan terhadap Akta Cukai Pendapatan 1967 bukan bertujuan mengenakan cukai terhadap badan agama, sebaliknya untuk memastikan pendapatan mereka digunakan secara khusus bagi tujuan keagamaan dan amal.

Timbalan Menteri Kewangan Datuk Othman Aziz berkata pindaan itu terpakai bagi semua badan agama termasuk Islam dan bukan Islam untuk melayakkannya dikecualikan daripada membayar cukai bermula dari taksiran tahun ini.

“Pengecualian cukai (terhadap badan agama) adalah suatu cara bagi kami untuk memastikan pendapatan, seperti daripada derma, digunakan untuk tujuan amal dan mengajar ilmu agama serta beribadat.

“Ini untuk mengelak pihak tertentu daripada menyalahgunakannya bagi tujuan lain dengan bertopengkan badan agama,” katanya kepada pemberita selepas majlis taklimat mengenai Bajet 2017 di sini.

Pindaan terhadap akta itu, yang menyebabkan banyak badan agama keliru terutama dalam kalangan badan agama bukan Islam, melibatkan perenggan 13(1)(b) Jadual 6 Akta berkenaan yang menyatakan bahawa pengecualian cukai hanya terpakai bagi sumbangan, yang diterima pertubuhan dan institusi agama  bukan mencari keuntungan, digunakan hanya untuk tujuan amal.

Othman berkata pindaan terhadap akta itu boleh mengatasi kebimbangan bahawa derma yang diterima digunakan untuk membiayai aktiviti militan.

Beliau memberitahu ada individu yang memperoleh pendapatan lebih RM10,000 sebulan tidak mengisytiharkan pendapatan mereka kerana mereka bekerja dengan badan agama yang dikecualikan daripada membayar cukai.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *