Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Modal Pasaran Modal Industri Komunikasi & Multimedia Cecah RM144.01 Bilion

Modal Pasaran Modal Industri Komunikasi & Multimedia Cecah RM144.01 Bilion

KUALA LUMPUR, Industri Komunikasi dan Multimedia (K&M) Malaysia terbukti mencatat prestasi baik pada 2019 dengan nilai permodalan pasaran keseluruhan mencecah RM144.01 bilion atau 8.4 peratus daripada jumlah permodalan pasaran di Bursa Malaysia.

Suruhanjaya Komunikasi dan Multimedia Malaysia (SKMM) berkata, jumlah itu meliputi RM134.01 bilion yang disumbangkan oleh sektor telekomunikasi, sektor penyiaran sebanyak RM7.29 bilion manakala RM2.71 bilion daripada sektor pos dan kurier.

Dalam kenyataan bersempena Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia yang disambut pada 17 Mei, SKMM berkata, jumlah itu merupakan peningkatan sebanyak RM6.28 bilion atau 4.56 peratus berbanding RM137.73 bilion yang direkodkan pada 2018.

“Statistik ini turut menunjukkan industri K&M telah menjana hasil sebanyak RM43.37 bilion dengan sektor telekomunikasi menjadi penyumbang terbesar iaitu sebanyak 80.2 peratus atau RM34.8 bilion,” kata SKMM.

Sektor penyiaran pula menjadi penyumbang kedua tertinggi iaitu sebanyak 13.6 peratus (RM5.88 bilion) dan diikuti sektor pos dan kurier sebanyak 6.2 peratus (RM2.69 bilion).

Selain itu, perbelanjaan modal sektor telekomunikasi bagi 2019 adalah sebanyak RM4.6 bilion dengan RM2.97 bilion digunakan untuk modal perkhidmatan mudah alih manakala RM1.63 bilion untuk modal perkhidmatan tetap.

“Kebanyakkan modal perbelanjaan digunakan untuk menaik taraf rangkaian mudah alih dan gentian optik bagi meningkatkan kapasiti serta kualiti rangkaian, sekali gus membolehkan sektor telekomunikasi memberikan perkhidmatan terbaik kepada pelanggan,” katanya.

Jumlah langganan jalur lebar mencecah 43.38 juta pada 2019 yang meliputi 2.95 juta langganan jalur lebar tetap – peningkatan 10.9 peratus berbanding 2.26 juta pada tahun sebelumnya.

Langganan jalur lebar mudah alih pula meningkat sebanyak 9.9 peratus kepada 40.42 juta (36.79 juta pada 2018) dan bagi liputan kawasan berpenduduk pula, liputan teknologi 3G adalah sebanyak 95.5 peratus pada 2019 (94.7 peratus pada 2018).

Liputan 4G evolusi jangka panjang (LTE) berada di paras 82.2 peratus pada 2019 berbanding 79.7 peratus pada tahun sebelumnya.

Selain itu, tempoh Perintah Kawalan Pergerakan (PKP) menyaksikan kadar penggunaan jalur lebar yang tinggi dan menyedari hakikat itu, kerajaan telah mengumumkan Pakej Rangsangan Ekonomi Prihatin Rakyat pada 27 Mac lepas menerusi penawaran beberapa pakej khas termasuk 1GB internet percuma setiap hari.

Dalam pada itu, teknologi 5G yang sedang dilaksanakan juga dijangka mengubah tahap kesalinghubungan dan menjadi pemboleh ubah penting untuk ekonomi negara sekali gus mempengaruhi kehidupan rakyat, perniagaan dan kerajaan secara holistik.

Sementara itu, Pengerusi SKMM Al-Ishsal Ishak berkata Hari Telekomunikasi dan Masyarakat Berinformasi Sedunia (WTISD) yang disambut setiap 17 Mei sejak 1969, bermatlamat untuk meningkatkan kesedaran rakyat mengenai potensi yang dicapai melalui penggunaan internet serta teknologi komunikas dan maklumat kepada rakyat dan negara.

“Justeru, sebagai badan kawal selia industri K&M, SKMM komited untuk memastikan masyarakat di negara ini terus berhubung dan berupaya untuk memperoleh faedah daripada kesalinghubungan yang berkualiti tinggi,” katanya.

Tema sambutan WTISD 2020 adalah ‘Connect 2030: ICT for Sustainable Development Goals’ (Kesalinghubungan 2030: ICT Bagi Matlamat Pembangunan Mampan) yang memberi fokus kepada kemajuan dan kemunculan trend baharu ICT atau teknologi maklumat dan komunikasi sebagai pemangkin pembangunan pintar dan mampan selain memelihara ekonomi, alam sekitar dan sosial.

Leave a Reply

Top