Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MOA Cadang Pantai Kuala Kerteh Tapak Kekal Karnival Usahawanita

MOA Cadang Pantai Kuala Kerteh Tapak Kekal Karnival Usahawanita

KEMAMAN, Kementerian Pertanian Industri dan Asas Tani (MOA) bercadang menjadikan Pantai Kuala Kertih, di sini sebagai tapak kekal penganjuran karnival yang menghimpunkan usahawan wanita.

Menterinya Datuk Seri Ahmad Shabery Cheek berkata pihaknya akan menaik taraf kawasan itu dengan pelbagai infrastruktur bagi kemudahan pengunjung dan kaum wanita yang akan berniaga di tapak berkenaan termasuk tandas, surau dan sebagainya.

“Insya-Allah tapak ini akan menjadi tapak karnival yang menghimpunkan usahawan daripada kalangan wanita yang pertama di negara ini dan mereka boleh menjalankan aktiviti mengikut tema produk masing-masing seperti kosmetik, kesihatan atau makanan.

“Mungkin kita boleh adakan setiap sebulan atau minggu mengikut permintaan masyarakat, sekali gus menjadikan kawasan ini berpotensi menjadi satu lagi kawasan pelancongan di Kemaman,” katanya.

Beliau ditemui selepas perasmian Karnival Usahawanita 2018 bersempena ROAD TO MAHA 2018 ‘Segalanya Wanita’ oleh Menteri Pembangunan Wanita, Keluarga dan Masyarakat Datuk Seri Rohani Abdul Karim di Pantai Kuala Kertih, di sini, hari ini.

Mengulas lanjut, Ahmad Shabery berkata selaras dengan itu pihaknya turut bercadang untuk menukar nama tapak karnival tersebut, bersesuaian dengan usahawan wanita yang bakal memeriahkan kawasan tersebut.

“Saya menerima beberapa cadangan nama seperti Pantai Citra Wanita, Pantai Cinta Wanita dan sebagainya…mungkin akan dibuat pertandingan bagi memilih nama yang sesuai dan bila ia diadakan akan diumumkan kelak,” katanya yang berharap karnival itu dapat dilaksanakan selepas pilihan raya umum ke-14.

Rohani yang menyokong usaha itu berkata karnival berkenaan memberi peluang kepada segelintir usahawanita yang menghadapi kesulitan memasarkan produk mereka, susulan tiada tapak yang sesuai.

“Dengan kewujudan tapak ini mereka mempunyai satu lagi platform untuk menjual produk selain Laman Wanita (LAWA) yang disediakan kementerian kita untuk usahawanita memasarkan produk mereka menerusi kerjasama dengan pasar raya besar di seluruh negara.”

“Dengan cara ini juga kita boleh mempelawa usahawan wanita dari negeri lain turut sama memasarkan produk masing-masing di tapak karnival tersebut,” katanya.

Leave a Reply

Top