MH Online

Laman Suara Rakyat

MIC Cadang Dewan Rakyat Digantung

MIC Cadang Dewan Rakyat Digantung

MIC mengesyorkan supaya Dewan Rakyat digantung bagi memberi laluan kepada pengendalian penularan COVID-19 dalam negara.

Cadangan itu dikemukakan Presiden MIC, Tan Sri S A Vigneswaran, berikutan polemik pembentukan kerajaan baharu susulan dakwaan Ketua Pembangkang, Datuk Seri Anwar Ibrahim, memiliki majoriti untuk berbuat demikian.

Vigneswaran dalam kenyataannya berkata, cadangan berkenaan mampu membantu kerajaan memulihkan ekonomi dan menstabilkan keadaan politik negara

Bekas Yang Dipertua Dewan Negara itu berkata, cadangan itu boleh dilakukan menerusi Perkara 55(2) Perlembagaan Persekutuan, memperuntukkan kuasa Yang di-Pertuan Agong boleh memprorog atau membubarkan Parlimen.

“Memprorog (menggantung) Dewan Rakyat adalah tindakan paling selamat bagi menjaga ketenteraman awam, ekonomi dan kestabilan politik. Sidang Dewan Rakyat akan ditangguh dan urus tadbir negara akan dijalankan kerajaan sedia ada, sepanjang tempoh prorog.

“Ini antara beberapa pilihan untuk negara berdepan dengan ketidakstabilan politik, selain syor mengadakan pilihan raya umum (PRU) bukanlah tindakan terbaik kerana mampu mengakibatkan peningkatan mendadak kes COVID-19,” katanya.

Beliau mengulas ketidaktentuan politik negara berikutan dakwaan Anwar memiliki majoriti Ahli Parlimen yang kukuh dan meyakinkan, iaitu hampir dua pertiga kerusi Parlimen bagi membentuk kerajaan baharu.

Semalam, Yang di-Pertuan Agong, Al-Sultan Abdullah Ri’ayatuddin Al-Mustafa Billah Shah, ketika menerima menghadap Anwar, dilapor menitahkan Presiden PKR itu supaya akur dan menghormati proses perundangan seperti termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan bagi usaha mengambil alih kepemimpinan negara.

Baginda bertitah demikian apabila Anwar pada pertemuan itu memaklumkan kepada baginda, jumlah Ahli Parlimen menyokong beliau untuk mengambil alih pentadbiran negara, namun tidak menyerahkan senarai wakil rakyat bagi mengukuhkan dakwaan terbabit.

Ahli Parlimen Port Dickson pada sidang media selepas pertemuan itu bagaimanapun mendakwa, mengemukakan pengesahan lebih 120 Ahli Parlimen yang menyokongnya membentuk kerajaan baharu, dalam bentuk akuan bersumpah dan dokumen ditandatangani ketua parti.