Pertubuhan Kerjasama Islam (OIC) akan mengadakan mesyuarat tergempar di Istanbul, Turki pada Selasa bagi membincangkan isu Israel-Palestin di Baitulmaqdis, lapor agensi berita China Xinhua.

Menteri-Menteri Luar OIC akan membincangkan isu serta langkah bagi menyokong umat Islam di Baitulmaqdis dalam usaha memelihara identiti dan kesucian Islam termasuk di Masjid Al Aqsa, memetik laporan agensi berita Arab Saudi (SPA).

Mesyuarat diadakan susulan tindakan rejim Israel baru-baru ini, melarang umat Islam masuk ke masjid.

Selain itu, mesyuarat bertujuan menghantar “mesej bersatu” daripada Dunia Islam kepada komuniti antarabangsa sebagai desakan menuntut Israel menghormati resolusi Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu (PBB), Konvensyen Geneva dan semua resolusi berkaitan Palestin dan Masjid Al Aqsa.

Sebelum ini, pada Isnin lepas, OIC telah mengadakan mesyuarat tergempar wakil tetap negara-negara anggota OIC manakala pada 20 Julai persidangan antarabangsa di Baku, Azerbaijan bersama dengan Jawatankuasa PBB diadakan bagi membincangkan isu sama.

Pertempuran antara Palestin dan pasukan keselamatan Israel meletus sejak 14 Julai, selepas Israel melaksanakan langkah keselamatan di kompleks Masjid Al Aqsa berikutan insiden serangan maut membabitkan anggota polis Israel.

Langkah itu, termasuk pemasangan alat pengesan logam dan kamera pengawasan di pintu masuk masjid yang dianggap sebagai percubaan Israel menawan serta menuntut hak ke atas tapak ketiga paling suci umat Islam yang ditadbir pihak berkuasa Jordan.

Berikutan tekanan antarabangsa, Israel membuka semula alat kawalan keselamatan yang dipasang namun larangan lelaki Islam Palestin di bawah umur 50 daripada memasuki Masjid Al Aqsa kekal.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *