Anda di sini!
Utama > Luar Negara > Mesir Berunding Dengan Palestin Elak Ketegangan Sempadan

Mesir Berunding Dengan Palestin Elak Ketegangan Sempadan

Pihak berkuasa keselamatan Mesir mengadakan rundingan dengan pemimpin Palestin sejak beberapa hari lalu, sebahagiannya untuk menghalang ketegangan baharu dengan Israel meletus di Semenanjung Gaza, kata pihak berkuasa Palestin semalam.

Delegasi Mesir diketuai Timbalan Ketua Perisikan Ayman Badie berada di Semenanjung Gaza pada Jumaat dan Sabtu serta di Tebing Barat kelmarin, kata pegawai.

Satu kenyataan daripada pergerakan Islam Hamas berkata kelmarin, perbincangan itu termasuk rundingan ‘persefahaman dengan musuh’, rujukan kepada gencatan senjata rapuh dengan Israel.

Ketika dihubungi semalam, seorang pegawai Hamas berkata, pergerakan itu enggan mengulas lanjut selain kenyataan rasmi yang dikeluarkan.

Presiden Palestin, Mahmoud Abbas bertemu dengan delegasi berkenaan di sini kelmarin bagi membincangkan gencatan senjata Gaza-Israel dan cubaan memulihkan perpecahan sekian lama antara Hamas dan Fatah, kata agensi berita rasmi Palestin, WAFA.

Ketegangan baharu dibimbangi meletus selepas tentera Zionis menembak mati ejen keselamatan Hamas pada Khamis di sepanjang sempadan dengan Semenanjung Gaza, menyebabkan pergerakan itu berikrar untuk membalas dendam.

Israel kemudian memberi isyarat, ia tersilap melepaskan tembakan, mengatakan siasatan awal menunjukkan tentera Zionis tersilap menyangka seorang ejen keselamatan Hamas sebagai ‘pejuang bersenjata dan melepaskan tembakan.’

Pada malam Jumaat lalu, tentera Zionis berkata, dua roket dilepaskan dari Semenanjung Gaza ke dalam Israel.

Awal hari sama, sekurang-kurangnya 33 penduduk Palestin cedera ditembak tentera Zionis ketika bantahan mingguan dan pertembungan di sepanjang sempadan Gaza-Israel, menurut Kementerian Kesihatan Hamas.

Mengikut gencatan senjata rapuh dibantu Mesir dan pegawai Pertubuhan Bangsa-bangsa Bersatu (PBB) susulan ketegangan terburuk Mei lalu, Israel sepatutnya melonggarkan sekatan di semenanjung itu sebagai pertukaran keadaan tenang.

Sekurang-kurangnya 295 penduduk Palestin terbunuh akibat ditembak Israel di Gaza sejak bantahan disokong Hamas bermula di sepanjang pagar sempadan pada Mac 2018. -AFP

Leave a Reply

Top