MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Mersing Kekal Milik UMNO’

'Mersing Kekal Milik UMNO'

KUALA LUMPUR, UMNO akan mengambil semula kerusi Parlimen Mersing daripada Parti Pribumi Bersatu Malaysia (Bersatu), kata Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Presiden UMNO berkata demikian berikutan kecewa dengan kenyataan Ahli Parlimen Mersing, Datuk Dr Abd Latiff Ahmad yang mengatakan bahawa UMNO Sabah tidak laku walaupun Menteri Pembangunan Luar Bandar itu sudah memohon maaf.

“Minta maaf ke, salah tafsir ke, kerusi Mersing kekal milik UMNO. Memang milik UMNO,” kata Ahmad Zahid di Twitter beliau semalam.

Sebelum ini, Abdul Latiff berkata, kenyataan beliau mengenai UMNO di Sabah sudah disalah tafsir pihak tertentu sehingga mengecilkan hati pihak lain.

“Kenyataan itu adalah kenyataan peribadi, bukan mewakili parti,” katanya.

Terdahulu tular video Abdul Latiff mengulas tentang UMNO Sabah dan penghijrahan ahli parti itu ke Bersatu dalam suatu forum yang menyaksikan beliau membuat kenyataan tersebut.

Abdul Latiff mewakili Parlimen Mersing selama lima penggal berturut-turut sejak 1999 mewakili UMNO.

Pada 2018, beliau sekali lagi memenangi kerusi itu atas tiket Barisan Nasional (BN) mengalahkan calon Bersatu dan Pas dengan majoriti 8,459 undi.

Bagaimanapun, Abdul Latiff menyertai Bersatu pada 2019.