MH Online

Laman Suara Rakyat

‘Mereka Tiada Pertalian Dengan UMNO Lagi’- Mohamad Hasan

'Mereka Tiada Pertalian Dengan UMNO Lagi'- Mohamad Hasan

KUALA LUMPUR, UMNO menyifatkan tindakan enam bekas Ahli Parlimennya menyertai Parti Pribumi Bersatu Malaysia (BERSATU) tidak akan merencatkan kelangsungan dan agenda perjuangan UMNO.

Timbalan Presiden yang menjalankan tugas Presiden, Datuk Seri Mohamad Hasan, berkata ini kerana Ahli Parlimen terbabit sudah mengumumkan keluar parti lebih awal sebelum ini.

“Seperti yang kita maklum, enam individu yang diterima masuk ke dalam BERSATU hari ini sudah mengumumkan yang mereka keluar dari UMNO lebih awal sebelum ini.

“UMNO menganggap mereka tidak ada lagi apa juga pertalian dan hubungan dengan UMNO. Keputusan mereka tidak langsung akan merencat kelangsungan dan agenda perjuangan UMNO,” katanya dalam satu kenyataan menerusi akaun Facebooknya malam ini.

Enam bekas Ahli Parlimen UMNO yang diterima masuk ke dalam BERSATU hari ini ialah Datuk Seri Hamzah Zainudin (Larut), Datuk Rosol Wahid (Hulu Terengganu), Datuk Dr Abdul Latiff Ahmad (Mersing), Datuk Shabudin Yahaya (Tasik Gelugor), Datuk Mohamad Fasiah Mohd Fakeh (Sabak Bernam), Datuk Seri Ikmal Hisham Abdul Aziz (Tanah Merah).

Mereka meninggalkan UMNO pada 14 Disember lalu. Mereka menerima kad keahlian BERSATU yang diserahkan Pengerusinya, Tun Dr Mahathir Mohamad.

Turut menerima kad keahlian parti itu ialah Ahli Parlimen Masjid Tanah, Datuk Mas Ermieyati Samsuddin.

Mohamad berkata, keputusan mereka menyertai mana-mana parti pasca UMNO adalah hak mereka sepenuhnya.

“UMNO dan saya hanya ingin sekali lagi merakamkan terima kasih atas segala sumbangan dan jasa mereka dalam UMNO sebelum ini.

“Selamat maju jaya dalam perjalanan politik mereka selepas ini bersama BERSATU. UMNO akan terus memfokuskan kepada agenda pemulihan parti yang kini sedang mendapat momentum dan sokongan terbaik daripada semua pihak, insya-Allah,” katanya.