Mercy Malaysia telah menghantar satu pasukan untuk memberi bantuan kecemasan kepada penduduk yang terjejas susulan gempa bumi bermagnitud 6.4 pada skala Richter yang melanda Aceh pada Rabu.

Presiden Mercy Malaysia, Datuk Dr Ahmad Faizal Mohd Perdaus berkata, selepas insiden itu, Mercy segera menghantar pasukan tempatan mengandungi empat anggota, berpusat di Medan dan Banda Ache ke Meureudu, bandar yang teruk terjejas di daerah Pidie Jaya.

“Pada 8 dan 9 Disember, dua pasukan lain dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur dihantar  untuk menjalankan penilaian menyeluruh mengenai keperluan perubatan dan keperluan asas oleh penduduk yang terlibat.

“Pasukan Ibu Pejabat diketuai oleh Pengarah Pembangunan Strategik Mercy Malaysia, Norazam Abu Samah dari Ibu Pejabat Kuala Lumpur dan terdiri daripada dua kakitangan logistik dan tiga kakitangan perubatan,” kata beliau dalam satu kenyataan hari ini.

Dr Ahmad Faizal berkata, hasil penilaian mendapati bahawa keperluan segera ialah penyediaan peralatan kebersihan dan keluarga bagi mereka yang ditempatkan di khemah-khemah untuk Pelarian Dalam Negara (IDP).

IDP berkenaan ialah Pusat Pemindahan Kampung Matang, Pusat Pemindahan Kampung Raya dan Pusat Pemindahan Kampung Dee.

“Pada fasa pertama respon kecemasan, 426 peralatan kebersihan dan keluarga  telah diperoleh dari bandar Sigli yang berhampiran untuk diagihkan kepada satu daripada khemah IDP.

“Respon kecemasan ini dibiayai oleh Yayasan Maybank yang menyumbang RM250,000 untuk memenuhi keperluan segera serta keperluan masa depan hasil penilaian yang dijalankan di kawasan-kawasan terlibat,” kata beliau.

“Sepanjang tahun ini, kita telah melaksanakan beberapa projek kesihatan, air, sanitasi dan kebersihan (WASH) serta projek pembinaan di Aceh,” kata beliau.

Lebih 100 orang maut dan beribu-ribu kehilangan tempat tinggal apabila gempa bumi bermagnitud 6.5 mengikut skala Richter menggegarkan Pidie Jaya di timur Aceh pada Rabu.

Gempa susulan berukuran 3.9 pada skala Richter melanda wilayah yang sama malam tadi.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *