Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Menteri Perlu Tampil Dengan Idea Baru

Menteri Perlu Tampil Dengan Idea Baru

RANTAU, Kerajaan Pakatan Harapan (PH) tidak boleh merasa sensitif apabila ditegur rakyat yang kurang berpuas hati dengan pentadbiran sedia ada.

Naib Presiden PKR, Rafizi Ramli, berkata teguran membina itu bertujuan memastikan kerajaan peka dan dapat menjalankan tugasan dengan lebih baik.

Katanya, ini kerana ketika ini terdapat menteri yang tidak mempunyai strategi komunikasi yang baik sehingga gagal memberi penerangan berkaitan pelbagai isu.

“Kegagalan ini menjadi senjata kepada UMNO dan PAS untuk terus memainkan pelbagai isu, terutama isu perkauman.

“Tetapi jika menteri berjaya dalam strategi komunikasi, saya yakin dalam tempoh setahun atau dua lagi, UMNO dan PAS tiada lagi modal,” katanya pada ‘Bual Bicara: Melayu Terancam, Melayu Kini vs Melayu Kroni’ di Bandar Seri Sendayan di sini, malam ini.

Mengulas lanjut Rafizi berkata, isu perkauman yang kini menjadi senjata UMNO dan PAS mampu ditepis jika pemimpin kerajaan mempunyai strategi komunikasi yang berkesan.

Katanya, menteri perlu bijak tampil dengan idea baharu supaya rakyat, terutama pengundi atas pagar nampak apa yang sedang mereka laksanakan.

“Kamu (menteri) dibayar gaji untuk tampil dengan idea baru. Kalau kamu tak tahu (cari idea), cari pihak yang tahu untuk tampil dengan dasar baharu,” katanya.

Sementara itu, Rafizi berharap pengundi Pilihan Raya Kecil (PRK) Dewan Undangan Negeri (DUN) Rantau yang akan mengundi pada Sabtu ini, membuat pilihan yang tepat.

Katanya, pengundi tidak boleh mengundi calon Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Mohamad Hasan jika tidak sukakan calon PH, Dr S Streram kerana bukan calon Melayu.

“Mengundi hak masing-masing tetapi dengan memilih Mohamad, itu tidak akan menguntungkan pengundi Melayu.

“Mengundi dengan sentimen salah, akan merugikan diri. Jadi pengundi perlu bijak takluki prasangka perkauman,” katanya.

Leave a Reply

Top