MH Online

Laman Suara Rakyat

Menteri Berpuas Hati Keputusan SPM 2017

PADANG TERAP, Menteri Pendidikan Datuk Seri Mahdzir Khalid berpuas hati dengan keputusan Sijil Pelajaran Malaysia (SPM) bagi tahun 2017 dengan menunjukkan peningkatan dalam Gred Purata Nasional (GPN) 4.90 berbanding 5.05 pada tahun sebelumnya.

Katanya, selain GPN yang meningkat sebanyak 0.15, pencapaian mata pelajaran juga menunjukkan prestasi yang baik terutama Bahasa Melayu, Bahasa Inggeris, Pendidikan Islam, Sejarah dan Matematik.

“Dalam bidang sains, cuma terdapat satu subjek yang menurun iaitu Biologi manakala Fizik, Kimia dan Sains Tambahan meningkat,” katanya.

Mahdzir berkata demikian selepas menemui 12 pelajar cemerlang SPM dari Sekolah Menengah Kebangsaan (SMK) Dato’ Syed Ahmad di rumah seorang calon SPM, Syarafana Diyanah Shaharuddin di Kampung Baru di sini hari ini.

Mahdzir sebelum itu hadir pada majlis pengumuman SPM 2017 di SMK Dato’ Syed Ahmad di sini.

Seramai 443,883 calon menduduki peperiksaan SPM di seluruh negara pada tahun 2017.