Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mengapa Perlu Bubar Parlimen

Mengapa Perlu Bubar Parlimen

Oleh: Isham Jalil

Anwar Ibrahim dan Ahli-ahli Parlimen PH daripada DAP, PKR dan PAN dalam keadaan terdesak semalam dan hari ini cuba menyatukan kembali gabungan parti politik dan Ahli-ahli Parlimen PH yang telah berpecah.

Mereka ingin membentuk kembali Kerajaan PH walaupun Perdana Menteri ke-7 Dr Mahathir dari Bersatu telah meletakkan jawatan tiga hari lalu dan Bersatu telah keluar dari PH.

Anwar sedang cuba memujuk Mahathir dan Bersatu serta Azmin untuk kembali bersama-samanya dalam PH dan menyokongnya sebagai Perdana Menteri.

Semalam Khalid Samad berkata PH mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan dengan majoriti mudah iaitu 112 Ahli Parlimen.

Jika pun Anwar berjaya menyatukan mereka kembali dan mendapat 112 sokongan Ahli-ahli Parlimen, kerajaan yang akan dibentuk olehnya selepas kemelut ini akan menjadi kerajaan yang tidak stabil dan goyah dengan krisis politik yang berpanjangan.

Jika ada dua tiga orang Ahli Parlimen sahaja yang melompat parti atau menarik balik sokongan kepada Anwar, kerajaan ini akan tumbang dan episod kemelut politik ini akan bermula semula.

Kerajaan tersebut tidak akan dapat memberikan tumpuan kepada pemulihan ekonomi dan menjaga kepentingan rakyat sebaliknya akan menumpukan sepenuh masa berpolitik dan membuat persediaan untuk Pilihanraya Umum ke-15 tiga tahun akan datang pada 2023.

Sementara itu keadaan negara dan hidup rakyat akan menjadi semakin buruk di kala kerajaan yang dibentuk dan Perdana Menteri yang dilantik tidak mendapat mandat rakyat namun hanya mandat daripada 112 Ahli-ahli Parlimen.

Dalam keadaan biasa, sebaik selepas pilihanraya, mandat Ahli-ahli Parlimen untuk memilih Perdana Menteri dan membentuk kerajaan adalah mencerminkan dan sama (atau hampir sama) dengan mandat rakyat.

Namun kini selepas 22 bulan sejak PRU-14, mandat Ahli-ahli Parlimen untuk memilih Perdana Menteri dan membentuk kerajaan tidak lagi mencerminkan mandat rakyat malah ianya telah banyak berubah dan tidak sama.

Sebagai contoh, ini dibuktikan dengan keputusan lima pilihanraya kecil terkini di seluruh negara yang berturut-turut tidak menyebelahi kerajaan.

Rakyat tidak akan boleh terima Perdana Menteri dan kerajaan yang mereka tidak percaya serta yang dibentuk bukan dengan mandat mereka.

Sebab itu kini apabila Perdana Menteri meletakkan jawatan dan kabinet serta kerajaan terbubar, maka mandat yang baru daripada rakyat perlu diperoleh untuk membentuk kerajaan yang stabil, sah dan berkesan.

Sebab itu juga walaupun mempunyai cukup Ahli Parlimen untuk membentuk kerajaan, pemimpin-pemimpin Barisan Nasional dan PAS dalam Muafakat Nasional semalam telah mencadangkan kepada DYMM SPB YDP Agong supaya membubarkan Parlimen untuk memberi laluan kepada pilihanraya dan mendapatkan mandat yang baru daripada rakyat untuk memilih Perdana Menteri dan membentuk kerajaan.

Anwar, Mahathir dan DAP tidak setuju untuk membubarkan Parlimen kerana mereka masih mahu berpegang kepada kuasa dan jawatan dalam kerajaan walaupun mereka tidak lagi mendapat mandat daripada rakyat.

Mereka juga tentunya terpaksa menjaga kepentingan-kepentingan taikun-taikun, kroni-kroni atau kartel mereka yang tidak mahu bekerjasama dengan UMNO dan PAS sebaliknya masih mahu mengekalkan DAP dalam kerajaan.

Anwar, Mahathir dan DAP dilihat hanya menjaga periuk nasi dan kepentingan tengkok dan kedudukan mereka sahaja namun tidak menghiraukan kehendak dan kepentingan rakyat yang rata-rata mahu parlimen dibubarkan dengan pilihanraya dan mandat yang baru.

Mereka (PH) sibuk mengatakan tentang kos pilihanraya padahal mereka juga yang telah membuat langkah Kajang dan Langkah Port Dickson dahulu dengan pilihanraya yang sebenarnya tidak perlu berbanding pilihanraya ini kini.

Semalam RM43 billion telah hilang daripada Bursa Saham Kuala Lumpur akibat ketidakstabilan politik negara.

Dijangkakan banyak lagi kerugian yang akan ditanggung oleh rakyat dan negara selagi kemelut politik ini tidak diselesaikan dengan membentuk kerajaan yang baru yang mendapat mandat baru yang sah daripada rakyat melalui pilihanraya.

Kepada Anwar, Azmin dan Muhyiddin: Sekiranya anda rasa anda boleh mendapat mandat rakyat dan layak menjadi Perdana Menteri, mengapa perlu takut untuk berhadapan dengan rakyat dalam pilihanraya?

Bubar.

ISHAM JALIL
26 Februari 2020

Leave a Reply

Top