MH Online

Laman Suara Rakyat

Mengapa Ada Yang Menentang?

Mengapa Ada Yang Menentang?

Oleh : Shahbudin Embun

Baru-baru ini Presiden Parti Keadilan Rakyat, Datuk Seri Anwar Ibrahim telah menjelaskan kepada Dewan Rakyat supaya tidak ada lagi  cubaan jahat untuk mengeruhkan keadaan,  bukan sahaja di kalangan pemimpin politik, bahkan dalam kalangan rakyat juga .Pastinya apa yang beliau maksudkan ialah tentang isu peralihan kuasa yang nampaknya begitu suka dibangkitkan oleh pelbagai pihak dari semasa ke semasa.

Apabila isu ini senyap, maka akan timbul suara –suara sumbang yang cuba berusaha untuk terus mengeruhkan lagi keadaan. Apa yang lebih penting ialah semua pihak harus menghormati keputusan yang telah dibuat dan terus  mengetepikan isu politik yang remeh temeh ini. Bagi Anwar, apa yang lebih penting ialah supaya semua agenda yang telah dijanjikan dalam manifesto Pilihan Raya Umum ke 14 dilaksanakan dengan baik , biarpun ada diantara janji-janji itu telah dikotakan.

Anwar pernah jelaskan yang  ‘pada prinsip dasarnya, kita tidak boleh tergelincir…kita hendaklah beri komitmen kepada rakyat. Kita diberi mandat di bawah premis itu dan kita akan kumpul dan terus perjuang untuk setiap rakyat negara ini, tidak seorang pun harus berasa dipinggirkan dan diabaikan’.

Anwar dan para penyokongnya sedar bahawa pihak musuh akan terus berusaha untuk memastikan apa yang dirancang ini tidak menjadi. Tidaklah diketahui apakah punca sebenar hinggakan mereka begitu obses untuk menggagalkan usaha ini. Adakah ini disebabkan sejak dari dahulu lagi, golongan ini telah dididik dengan pemikiran politik yang sempit dan bersifat dengki.

Mungkin mereka ini tidak ada keupayaan untuk keluar dari kepompong yang  terus menutup minda dan mata mereka. Mereka ini merupakan golongan yang terus menjatuhkan hukuman tanpa ada perbicaraan dan juga yang begitu hebat memberikan andaian dan teori, seolah-olah boleh menjangkakan pelbagai perkara yang negatif  akan berlaku sekiranya Anwar menjadi Perdana Menteri Malaysia yang ke 8.

Sama ada kita suka atau tidak, hakikatnya dunia politik Malaysia hari ini , masih memainkan  unsur perkauman sebagai satu modal atau  subjek untuk menguatkan pengaruh  dan terus mengapi-apikan sentimen kaum sehingga sanggup  memecahbelahkan perpaduan yang selama ini telah dipupuk.

Segala isu yang  berkaitan dengan perkauman masih terus membelenggu sistem sosial, politik dan ekonomi Malaysia, meskipun Malaysia sedang berusaha untuk menuju menjadi  sebuah negara maju. Perlu diingatkan bahawa, negara lain sanggup mengambil risiko untuk terus memandang ke depan dan bergerak jauh .

Negara-negara ini telah mencetuskan pembaharuan serta transformasi dalam pemikiran dan pentadbiran mereka, sedangkan ada di antara masyarakat Malaysia yang masih suka untuk terus bergelut dan bergelumang dalam isu-isu perkauman yang semakin menebal . Hasil cengkaman dari isu ini  tidak akan membawa negara kita ke mana-mana.Kita suka membuat pelbagai forum dan menganjurkan pelbagai perhimpunan , namun sebaik sahaja prhimpunan itu tamat, maka akan tamatlah juga semangat yang dilaungkan.

Dalam hal ini, ada di antara golongan ini yang merasakan Anwar akan melupakan bangsanya sendiri apabila Anwar memegang tampuk pemerintahan. Mungkin golongan ini membuat andaian berdasarkan pada beberapa ucapan Anwar yang sering menyatakan beliau akan berjuang untuk seluruh rakyat Malaysia tanpa mengira kaum. Namun pada masa yang sama, mereka mungkin lupa bahawa Anwar tetap merupakan pejuang bangsa dan agama.

Presiden PKR itu pernah menjelaskan yang  agenda Melayu dan Islam tetap menjadi keutamaan dalam memastikan kedudukannya terpelihara sebagaimana termaktub dalam Perlembagaan Persekutuan.Itulah janji yang akan dikotakan dan tidak ada kompromi dalam hal ini. Bahkan beliau pernah menjelaskan yang beliau tidak layak diangkat sebagai Perdana Menteri sekiranya mengabaikan agenda Melayu dan Islam.

Mungkin sudah sampai masanya pemikiran dan sistem politik yang selama ini diamalkan mengalami satu perubahan yang drastik. Dan Anwar tentunya bakal dilihat sebagai pemimpin yang akan menerajui perubahan ini. Dan di sinilah nanti,  kita akan melihat sejauh mana kematangan kita semua untuk bersedia menerima perubahan yang bakal terjadi ini.