Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > Mekanisme Kawalan Harga Ubat Diumum Minggu Hadapan

Mekanisme Kawalan Harga Ubat Diumum Minggu Hadapan

IPOH, Mekanisme bagi melaksanakan kawalan harga ke atas ubat-ubatan dalam pasaran dijangka diumumkan bulan hadapan, kata Timbalan Menteri Kesihatan, Dr Lee Boon Chye.

Beliau berkata, perbincangan itu masih dijalankan bersama Kementerian Perdagangan Dalam Negeri dan Hal Ehwal Pengguna (KPDNHEP) sejak bulan lalu dan mekanisme itu akan diumumkan sebelum pembentangan Bajet 2019.

“Seperti kita sedia maklum, harga ubat-ubatan tidak tersenarai dalam barangan harga terkawal dan ia didapati meningkat sebanyak 10 sehingga 20 peratus setiap tahun, sebab itu untuk ubat biasa kita cuba gunakan ubat generik,” katanya.

Beliau berkata demikian pada sidang media selepas merasmikan Persidangan Antarabangsa Kedua mengenai Farmasi dan Sains Kesihatan di sini, hari ini.

Persidangan selama tiga hari bermula hari ini bertemakan Mengintegrasi Penyelidikan Inovasi, Teknologi, Amalan ke arah Kesihatan Mapan yang disertai kira-kira 150 peserta dari dalam dan luar negara.

Boon Chye berkata, peningkatan harga ubat-ubatan turut dipengaruhi oleh kaedah yang digunakan untuk membawanya masuk ke negara ini kerana kebanyakan ubat diimport dari Amerika Syarikat (AS) dan Eropah.

“Kita harap ubat dapat dibawa ke Malaysia dengan kaedah yang lebih mudah supaya kos farmaseutikal dapat dikurangkan,” katanya.

Dalam perkembangan lain, Boon Chye turut menasihati semua atlet Sukan Malaysia (SUKMA) supaya mempraktikkan gaya hidup yang sihat dan kementerian sedia membantu sekiranya mereka berdepan masalah kesihatan sepanjang berlangsungnya temasya berkenaan.

“Semalam, atlet dari Sabah dijangkiti penyakit beguk dan jangkitan itu bukan datang dari Perak tetapi dari Sabah. Kita sudah mengambil langkah yang sesuai untuk kuarantin mereka dan Jabatan Kesihatan juga sudah mengambil tindakan bagi memastikan tidak ada jangkitan berlaku,” katanya.

Semalam sebuah portal berita online melaporkan, mangsa jangkitan beguk itu yang berumur 16 tahun itu mengadu mengalami gejala demam pada 2 September lalu diikuti bengkak pada dua bahagian leher hari berikutnya.

Siasatan lanjut mendapati seramai 11 lagi atlet futsal dari negeri itu dikesan mengalami jangkitan saluran pernafasan yang ringan.

Leave a Reply

Top