MH Online

Laman Suara Rakyat

Media Prima Tumpu Platform Digital

Media Prima Tumpu Platform Digital

KUALA LUMPUR, Media Prima Bhd (Media Prima) komited menumpukan kepada platform perniagaan digitalnya bagi merealisasikan perancangan kumpulan sebagai syarikat kandungan digital media pertama.

Pengarah Urusan Kumpulannya, Datuk Kamal Khalid, berkata perancangan ke arah digital itu menjadi keperluan kumpulan media itu bagi memenuhi kehendak dan pasaran semasa.

“Selama ini, Media Prima dikenali sebagai syarikat media tradisional dan kumpulan perlu berubah mengambil cabaran ini dalam menjadi syarikat digital.

“Kumpulan ketika ini menumpukan kepada kandungan dalam talian bagi memenuhi keperluan pelanggan dan pembaca.

“Penumpuan kepada platform baharu ini juga membolehkan kumpulan menjadi peneraju dalam syarikat media tempatan di Malaysia selain Google dan Facebook selain peneraju dalam penyedia kandungan media di Malaysia,” katanya.

Beliau selepas forum siri ketiga AmBank BizConference – Penjenamaan dan Pemasaran Digital di sini, hari ini.

Kamal berkata, Media Prima juga kini berada di landasan kukuh bagi segmen penonton dan pembaca, selain turut menumpukan kepada keperluan perusahaan kecil dan sederhana (PKS).

Katanya kumpulan juga kini menumpukan kepada pemasaran dan penjenamaan PKS dengan menawarkan pakej pengiklanan dengan harga rendah.

“Persepsi PKS selama ini adalah pengiklanan di TV dan surat khabar terlalu mahal, lantaran itu Media Prima mengambil inisiatif menawarkan pakej pengiklanan yang rendah kepada PKS.

“Ini asas kumpulan dalam memberi penekanan kepada keperluan PKS dan ia perlu lebih rendah atau bersamaan dengan pengiklanan digital yang lain.

“Media Prima mempunyai kelebihan dalam pengiklanan kerana kami mempunyai saluran pengiklanan digital dan tradisional. Dalam penjenamaan, kita memerlukan semua saluran dan ini antara yang ingin kami perkenalkan kepada PKS,” katanya.

Kamal berkata, sektor PKS menjadi peneraju utama kepada ekonomi negara dan Media Prima dapat membantu sektor itu mendapat jangkauan yang lebih luas.

Katanya, dalam perniagaan, walaupun pada mulanya mereka menumpukan kepada pengiklanan digital, namun selepas satu tahap, mereka memerlukan jangkauan pengiklanan yang lebih meluas ke seluruh pasaran.