Share on Facebook

KUALA LUMPUR, Media di seluruh dunia diminta memaparkan lebih banyak laporan berkaitan isu  bandar dalam usaha untuk menangani dan meningkatkan kesedaran orang ramai terhadap isu berkenaan.

Bekas Timbalan Setiausaha Agung bagi Habitat III Kumaresh Chandra Misra berkata media atau wartawan merupakan pihak berkepentingan dalam pembangunan bandar sebab mereka memainkan peranan penting dalam mempengaruhi orang ramai ke arah pembangunan bandar lebih mampan.

“Isu bandar merupakan isu penting untuk kehidupan warganya dan satu-satunya cara untuk mengetahui isu itu sama ada baik atau buruk, positif atau negatif adalah  menerusi wartawan kerana mereka boleh menjadi alat komunikasi dan penghantar mesej.

“Sebab itu kenapa adalah penting untuk wartawan menonjolkan atau melihat isu-isu bandar dan tidak hanya menumpukan pada soal jenayah, politik atau kemalangan tetapi juga aspek kehidupan di bandar  secara holistik,”katanya kepada Bernama selepas berucap pada wacana  Akademi  Kewartawanan Bandar  bersempena Forum Bandar Sedunia Ke-9 (WUF9) di sini, hari ini.

Kumaresh mengambil perhatian  bahawa walaupun lebih banyak media di Asia kini memberi liputan lebih meluas dan serius terhadap isu-isu bandar, mereka juga perlu menonjolkan lebih banyak pandangan dan suara penduduk di rantau itu.

Beliau berkata media sosial turut membantu dalam menangani isu bandar seperti dalam bidang pelaksanaan tindakan inovatif dan pembangunan bandar mampan.

Kumaresh berkata media juga perlu memberi liputan sewajarnya terhadap pelaksanaan Agenda Bandar Baharu terutamanya agenda berkaitan bandar raya  di negara masing-masing.

Pada Oktober tahun lepas, Malaysia melancarkan NUA yang berobjektif membawa negara ke arah perbandaran dan pembangunan mampan di samping menyediakan garis panduan untuk mencapai Matlamat Pembangunan Mampan (SDG)  2030.

NUA diperkenalkan pada Oktober 2016 pada persidangan Pertubuhan Bangsa-Bangsa Bersatu bagi Habitat III di Quito, Ecuador, dan telah diterima pakai oleh 170 negara.

WUF9 selama seminggu bermula 7 Feb berlangsung dengan lebih 500 acara disusun termasuk perhimpunan, perbincangan meja bulat peringkat tinggi, dialog dan sesi khas.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *