Media Indonesia yang mahu menyiarkan isu berkaitan syarikat 1Malaysia Development Berhad (1MDB) di Malaysia diminta agar melayari laman web Jawatankuasa Kira-Kira Wang Negara (PAC) bagi mendapatkan maklumat yang sahih mengenainya.

Duta Besar Malaysia di Indonesia Datuk Seri Zahrain Mohamed Hashim berkata dengan melayari laman web www.parlimen.gov.my/pac itu media Indonesia boleh mendapatkan maklumat terperinci hasil siasatan mengenai 1MDB yang dikendalikan oleh PAC.

“Media tidak perlu mengambil atau memetik maklumat daripada pihak lain terutamanya laporan yang berat sebelah untuk menyiarkan laporan mengenai 1MDB kerana laporan PAC itu adalah lengkap, tidak bias dan boleh diakses,” katanya dalam sidang media bersama media Indonesia di pejabatnya pada selasa.

Beliau berkata terdapat media di Indonesia menyiarkan laporan mengenai 1MDB dengan memetik satu program wawancara Badan Penyiaran Australia (ABC) baru-baru ini sedangkan wawancara itu ternyata bias dengan hanya menemuramah pihak pembangkang.

Katanya, laporan siasatan PAC pula sebenarnya adalah sahih dan tidak berat sebelah kerana jawatankuasa itu dianggotai bersama oleh anggota Parlimen daripada pemerintah dan juga pembangkang.

“Penyiasatan yang dilakukan oleh PAC sendiri mendapati memang wujud kelemahan dalam pengurusan 1MDB dan turut mengesahkan bahawa tiada sebarang bukti untuk membabitkan Perdana Menteri Datuk Seri Najib Tun Razak mengenai isu IMDB,” katanya.

Zahrain berkata isu 1MDB sebenarnya masalah pengurusan dalam perniagaan tetapi syarikat itu telah menjadi sebuah syarikat yang paling disiasat di seluruh dunia dan telah dijadikan isu politik bertujuan untuk mencemarkan nama dan imej Perdana Menteri.

Katanya, kesemua tuduhan yang dilemparkan kepada Perdana Menteri mengenai isu 1MDB itu adalah atas dengar cakap sahaja dan tiada pihak yang mengumumkan sebarang bukti sahih sehingga ke hari ini.

PAC mengeluarkan Laporan Kawalan Pengurusan Tadbir Urus 1MDB setebal 106 muka surat itu pada 7 April lepas.

Ia mengandungi rumusan hasil siasatan PAC terhadap isu melibatkan syarikat pelaburan strategik negara itu.

Share on Facebook Share Share on TwitterTweet Share on Google Plus Share Share on Pinterest Share Share on LinkedIn Share Share on Digg Share

Leave a comment

Your email address will not be published. Required fields are marked *