Anda di sini!
Utama > Dalam Negara > MCA Tidak Akan Tunduk Desakan Guan Eng

MCA Tidak Akan Tunduk Desakan Guan Eng

KUALA LUMPUR, MCA tidak akan tunduk terhadap tekanan Menteri Kewangan, Lim Guan Eng, yang didakwa cuba mengasingkan pentadbiran Kolej Universiti Tunku Abdul Rahman (TARUC) dengan parti itu.

Presiden MCA, Datuk Seri Dr Wee Ka Siong, berkata partinya berikrar untuk mempertahankan TARUC yang diasaskan partinya supaya kekal di bawah pentadbiran MCA.

Beliau mendakwa Guan Eng dan bapanya yang juga Ahli Parlimen Iskandar Puteri, Lim Kit Siang serta DAP tidak pernah menyumbang walau satu sen kepada kemajuan dan pembangunan TARUC.

“Tolong jangan menyalahgunakan kuasa anda dan hentikan semua tindakan jahat untuk menimbulkan malapetaka kepada TARUC.

“Saya ingin katakan kepada Guan Eng, TARUC dibentuk oleh MCA. Kami tidak akan membenarkan anda memusnahkannya,” katanya berucap pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA Ke-66 di Wisma MCA di sini, hari ini.

Perhimpunan itu dirasmikan Pengerusi Barisan Nasional (BN), Datuk Seri Dr Ahmad Zahid Hamidi.

Sejak kewujudannya 50 tahun lalu, Ka Siong menegaskan TARUC memberikan pendidikan kepada keluarga memerlukan dan memenuhi keperluan pendidikan negara.

Ahli Parlimen Ayer Hitam itu, berkata institusi itu berjaya melahirkan ramai profesional dan pakar dalam pelbagai bidang.

Sehubungan itu, beliau memberi amaran kepada pihak tertentu supaya berhenti merosakkan institusi yang banyak memberi sumbangan kepada pembangunan dan peningkatan ekonomi rakyat dan negara.

Presiden MCA, Datuk Seri Ir Dr Wee Ka Siong menyampaikan ucapan pada Perhimpunan Agung Tahunan MCA KE-66 di Wisma MCA. – Foto Rosela Ismail

Pada 22 November lalu, Guan Eng dilaporkan berkata kerajaan meluluskan sekurang-kurangnya RM30 juta setiap tahun untuk diperuntukkan kepada satu tabung amanah yang akan dikendalikan oleh Persatuan Alumni Tunku Abdul Rahman (TAA) bagi manfaat TARUC dan pelajarnya.

Tabung Amanah Geran Padanan Kerajaan itu akan dianggotai oleh TAA, wakil pelajar TARUC dan seorang wakil Kementerian Kewangan.

Tabung amanah itu akan mengendalikan dana RM30 juta setiap tahun tanpa pembabitan atau campur tangan kerajaan atau mana-mana parti politik termasuk daripada MCA mahupun Pakatan Harapan (PH).

Langkah itu diambil berikutan pihak tertentu mempersoalkan keikhlasan kerajaan untuk menyalurkan sekurang-kurangnya RM30 juta setahun kepada TARUC sekiranya menghormati prinsip pengasingan di antara milikan parti politik dan institusi pendidikan.

Leave a Reply

Top