MH Online

Laman Suara Rakyat

Maybank Sedia 3 Pilihan Pakej Bantuan

Maybank Sedia 3 Pilihan Pakej Bantuan

KUALA LUMPUR, Maybank menyediakan tiga pilihan mudah untuk pelanggan memohon Pakej Bantuan Pembayaran Balik pinjaman mulai hari ini, dengan berakhirnya tempoh moratorium selama enam bulan pada 30 September ini.

Dalam satu kenyataan, bank itu berkata, pelanggan boleh memohon secara dalam talian melalui Maybank2u (untuk pelanggan individu tidak termasuk sewa beli); melalui emel kepada weassist@maybank.com (untuk pelanggan individu) atau SMErelief@maybank.com (untuk pelanggan PKS).

Pelanggan juga boleh mengunjungi atau menghubungi mana-mana cawangan, Pusat PKS atau Pusat Pembiayaan Auto seluruh negara.

Pakej Bantuan Pembayaran Balik akan disesuaikan mengikut keperluan pelanggan dan menangani cabaran yang mereka hadapi sama ada kehilangan pekerjaan, pengurangan gaji atau gangguan dalam operasi perniagaan.

“Ini mungkin termasuk pelanjutan moratorium untuk mereka yang kehilangan pekerjaan pada 2020, penjadualan semula untuk melanjutkan tempoh kemudahan pinjaman/pembiayaan atau menyusun semula pinjaman/pembiayaan kepada struktur yang lebih sesuai dengan kemampuan pembayaran mereka,” katanya.

Memandangkan tarikh akhir permohonan ialah pada 30 September, bank menyarankan agar pelanggan mula memohon seawal mungkin supaya pengaturan pembayaran balik boleh diluluskan dan dilaksanakan sebelum berakhirnya moratorium.

Untuk maklumat lanjut, pelanggan boleh melayari www.maybank2u.com.my/covid19 atau menghubungi talian hotline Pelanggan Maybank di 1-300 88 6688, dan tekan *1 untuk “Bantuan Pembayaran Balik”.