MH Online

Laman Suara Rakyat

Maybank Sasar Transaksi eDuit Raya RM33 Juta

Maybank Sasar Transaksi eDuit Raya RM33 Juta

KUALA LUMPUR, Maybank meramalkan lonjakan pemberian perayaan melalui platform dalam taliannya tahun ini ketika rakyat Malaysia menyambut Hari Raya di bawah ‘normal baharu’.

Ketua Perkhidmatan Kewangan Komuniti Maybank Malaysia, Datuk Hamirullah Boorhan, berkata pihaknya menjangkakan kenaikan 30 peratus dalam jumlah transaksi eDuit Raya, dan menyasar eDuit Raya bernilai lebih dari RM33 juta dihantar ahli keluarga dan rakan-rakan.

Beliau juga berkata, kemudahan eDuit Raya telah mendapat sambutan baik sejak pelancarannya pada tahun 2015.

“Dalam beberapa tahun ini, kami telah menaik taraf ciri-ciri eDuit Raya secara konsisten dan ini telah menyumbang kepada penerimaannya dengan kukuh. Setelah Raya QR diperkenalkan pada tahun 2018, jumlah transaksi meningkat lebih dari 10 kali sementara nilai transaksi hampir dua kali ganda.

“Kami terus melihat pertumbuhan pesat pada tahun 2019 dan mencatat lebih dari 700,000 transaksi, bernilai lebih dari RM27 juta,” katanya dalam satu kenyataan di sini hari ini.

eDuit Raya dapat dihantar dengan dua cara mudah – melalui Raya QR menerusi Aplikasi Maybank2u (kaedah transaksi P2P dengan mengimbas kod QR penerima), atau melalui nombor telefon menggunakan e-dompet MAE dalam Aplikasi Maybank2u.

eDuit Raya adalah terbuka untuk semua, termasuk mereka yang tidak mempunyai akaun Maybank, di mana mereka boleh mendaftar secara mudah dan dalam talian untuk MAE menerusi Aplikasi Maybank2u, dan terus menggunakannya dengan segera.

MAE adalah e-dompet patuh syariah pertama dan satu-satunya di Malaysia. Hamirullah juga mengumumkan, kemudahan tambahan tahun ini, Maybank telah memperluas senarai badan zakat yang mengumpul Zakat Fitrah secara dalam talian dan memperkenalkan perkhidmatan QRPay Zakat Fitrah untuk membolehkan pelanggan Islam melalui Maybank2u dan Maybank QRPay.

Dengan pilihan tanpa tunai ini, beliau menjangkakan pembayaran Zakat Fitrah melalui Maybank akan meningkat lebih dari 100 peratus tahun ini.

“Kemudahan yang diperoleh melalui perkhidmatan dalam talian eDuit Raya dan Zakat Fitrah adalah sangat penting pada tahun ini kerana kita harus mengamalkan penjarakan sosial, mengawal kesesakan dan menghadkan perjalanan ketika menyambut perayaan ini.

“Tetapi, semangat memberi adalah penting dan digalakkan semasa bulan suci Ramadan dan Hari Raya, jadi, kami ingin membolehkan pelanggan kami memenuhi kewajipan membayar zakat, dan meneruskan tradisi memberi Duit Raya kepada orang yang mereka sayangi walaupun terdapat beberapa kekangan.

“Dengan Maybank2u, kami dapat terus berkongsi berkat dan membantu mereka yang kurang bernasib baik sambil mengutamakan keselamatan,” katanya.

Zakat Fitrah boleh dibayar secara dalam talian melalui laman web Maybank2u sementara pelanggan yang lebih suka menggunakan QRpay Zakat Fitrah hanya perlu mengimbas kod QR di laman web Lembaga Zakat Negeri masing-masing untuk membuat pembayaran melalui Aplikasi Maybank2u mereka.

Pada masa ini, 10 badan zakat Negeri menerima pembayaran melalui Maybank2u dan QRpay Zakat Fitrah – Kedah, Kelantan, Pulau Pinang, Perak, Perlis, Sabah, Sarawak, Selangor, Terengganu dan Wilayah Persekutuan – manakala Pulau Pinang, Wilayah Persekutuan, Sarawak dan Perak boleh menerima pembayaran menerusi QRPay.